Malaysia Today - Your Source of Independent News |
- Perang mulut seharusnya buka mata pemimpin PAS bawahan
- Hakisan Pantai Teluk Lipat; Mana janji Zaabar nak buat benteng pemecah ombak RM1.5 juta
- Jangan menyusahkan Najib
- NFC paku terakhir keranda Umno
- Tolak BN, selamatkan wang rakyat
- Dilema PAS hadapi Hasan Ali
- Perkasa kecam pemimpin gereja kerana persoal perlembagaan
- DR M perlekeh negara peminjam Bank Dunia
- `Tiada ruang untuk saya bersuara dalam Harakah’
- Mustafa Ali enggan jawab tuduhan mahu jumpa Umno
- ‘Bukan saya jumpa pemimpin Umno tapi Mustafa Ali’ jawab Hasan
Perang mulut seharusnya buka mata pemimpin PAS bawahan Posted: 26 Dec 2011 03:17 PM PST Jika dakwaan Hasan dan Mustafa dijadikan rujukan maka kemungkinan Hasan, Mustafa dan Nasharuddin pernah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Umno ada asasnya. Pada mulanya Mustafa berkata Hasan dan Nasharuddin pernah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno di Hotel Le Meridien pada bulan Ramadhan lalu. Bagaimanapun Mustafa enggan mengulas lanjut berhubung maklumat pertemuan tersebut. Selepas 48 jam, Hasan pula dalam sidang media berkata sebenarnya Mustafa yang beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno. Namun masing-masing tidak mahu mendedahkan maklumat terperinci tentang pertemuan-pertemuan tersebut. Tetapi bagi mereka yang mengikuti politik tanahair dengan rapat terutama yang Pro-Pakatan Rakyat adalah tidak sukar untuk menjangka bahawa pertemuan tersebut mungkin bersangkut paut dengan agenda Kerajaan Perpaduan (Unity Government), gabungan Umno dan PAS. FMT difahamkan asalnya Mustafa, Hasan dan Nasharuddin sememangnya merupakan amat akrab dan dikatakan mendukung agenda UG. Desas desus berkata idea UG ini lahir dari Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din. FMT juga difahamkan turut menyokong agenda UG ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib; Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan At-Tantawi dan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Bagaimanapun apabila berlaku bantahan dari dalam terutama sekali apabila Musyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta diadakan Muktamar Khas untuk membincangkan isu UG dan apabila Nik Aziz secara terbuka meminta Nasharuddin meninggalkan PAS jika sayang sangat kepada Umno, isu UG terus senyap. Maka apabila berlaku pertikaman lidah dalam media apabila Mustafa menuduh Hasan dan Nasharuddin pernah berjumpa pemimpin Umno dan apabila Hasan memulangkan kata-kata, Mustafa lah yang sebenarnya pernah berjumpa pemimpin Umno maka segala dakwaan seorang blogger Pro PAS sejak tahun 2009 ada sedikit kebenarannya. Pada 5 November 2009 seorang ahli PAS bernama Abdul Rahman Abdul Talib yang juga merupakan seorang blogger yang dikenali sebagai Tulang Besi dalam sebuah posting beliau berkata beliau telah menghantar email kepada Tuan Ibrahim (Naib Presiden ketika itu). Beliau membuat aduan rasmi ke atas salah laku Nasharuddin berhubung pertemuan Nasharuddin (termasuk Hasan) dengan blogger- blogger termasuk blogger Umno. Tulang Besi juga muat naik rakaman pertemuan tersebut yang dirakam secara rahsia di dalam blog beliau. Namun sehingga hari ini isu tersebut disenyapkan oleh PAS dan apabila isu Hasan dan Nasharuddin mengeluarkan kenyataan yang seiring dengan kenyataan Umno menghentam PAS, maka sebenarnya ramai pemimpin PAS peringkat atasan yang tidak menyenangi idea UG ini tidak terkejut. Selepas isu kritikan Hasan dan Nasharuddin terhadap PAS secara terbuka mendapat liputan meluas media arus perdana, ramai pemimpin PAS peringkat negeri, kawasan dan cawangan seperti baru terhantuk kepala. Golongan pemimpin ini merupakan golongan yang tidak mempercayai kononnya ada kepimpinan PAS Pusat yang pro Umno selama ini. Bagi mereka ini semua fitnah daripada blogger pro PAS dan mereka pernah mengecop blogger seperti Tulang Besi sebagai blogger Umno tetapi menyamar sebagai blogger pro PAS kerana sering melabelkan pemimpin pro UG ini sebagai pemimpin pro Umno untuk memecah belahkan PAS. Kini segala usaha "coverline" yang dilakukan sebelum ini oleh kepimpinan PAS Pusat sudah terburai secara terbuka dek kerana kenyataan secara terbuka oleh Mustafa, Hasan dan Nasaruddin sendiri. FMT merasa pelik kerana serangan Hasan dan Nasharuddin secara terbuka ke atas PAS selama seminggu itu merupakan satu kesalahan tatatertib yang besar. Jika perkara yang sama dilakukan oleh seseorang pemimpin dari Umno, MCA, MIC, PKR atau DAP, sudah pasti pemimpin itu sudah dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin. Tindakan tegas pasti menanti pemimpin tersebut dan paling minimum akan dikenakan tindakan digantung daripada jawatan dan tugasan parti. Agak pelik juga apabila Mustafa mengetahui banyak pergerakan Hasan dan Nasharuddin berhubung pertemuan Hasan dan Nasharuddin dengan pemimpin Umno sebelum ini tetapi mengapa sebarang tindakan tidak diambil oleh beliau atau kepimpinan PAS Pusat? Setakat hari ini tidak ada sebarang tindakan disiplin atau siasatan diadakan terhadap Hasan dan Nasharuddin. Kenyataan Mustafa di FMT bahawa beliau tidak mahu memberi apa-apa kenyatan kerana Hasan dan Nasharuddin tidak lagi meyerang PAS tidak menjawab persoalan besar apakah benar Hasan dan Nasharuddin pernah berjumpa dengan pemimpin Umno. Mustafa juga berkata "No komen, biar dia kata apa pun. Kalau dia nak bercakap, biarlah dia bercakap," katanya kepada FMT pada Sabtu lepas. Perjumpaan empat mata Hasan dan Nasharuddin dengan Abdul Hadi nampak seperti tindakan formaliti untuk menutup pekung atau dalam bahasa pasar sebagai "coverline".
|
Hakisan Pantai Teluk Lipat; Mana janji Zaabar nak buat benteng pemecah ombak RM1.5 juta Posted: 26 Dec 2011 02:42 PM PST DUNGUN – Hakisan teruk akbat ombak besar yang melanda pantai Teluk Lipat dekat sini mendapat liputan pelbagai media. Namun, tidak ada media yang mengungkit semula janji kerajaan Umno dan Barsan Nasonal (BN) kira-kira enam bulan dulu untuk menyelamatkan pantai yang indah itu. Pada 7 April 2011, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd. Abdul Wahid bin Endut telah minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sektar menyatakan perancangan dan usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah hakisan pantai di negeri Terengganu seperti Pantai Tok Jembal Kuala Nerus, Telok Lipat Dungun, Rhu Rendang Marang dan Telok Kalong Kemaman |
Posted: 26 Dec 2011 08:13 AM PST "Saya berpegang teguh pada sumpah yang dilafazkan pada April 2009. Saya percaya, sumpah yang saya angkat itu, mempengaruhi saya bukan sahaja sebagai Perdana Menteri tetapi juga sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden Umno dan yang paling penting, sebagai seorang insan yang begitu bangga menjadi rakyat Malaysia." Itulah yang dicoretkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam blog beliau 1malaysia.com.my baru-baru ini. Sememangnya tiada siapa pun boleh menafikan, Najib seperti mana kata beliau telah melakukan yang terbaik untuk rakyat semenjak dua tahun setengah memegang jawatan Perdana Menteri. Perlu diingat Najib menjadi pemimpin nombor satu negara bukanlah dalam situasi yang mudah, beliau melangkah masuk ke Pejabat Perdana Menteri dalam keadaan politik Umno dan BN berada di kedudukan cukup tidak selesa. Sementara Umno kehilangan kuasa di Kedah, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor serta terus gagal menawan Kelantan, BN pula kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan terlepas kekuasaan di Pulau Pinang. Malahan Najib mempunyai tanggungjawab cukup berat bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan BN. Apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu, seolah-olah satu isyarat jelas kepada BN bahawa rakyat mampu menolak parti berkenaan, biar pun mereka menyedari BN sudah banyak berjasa kepada rakyat dan negara. Berikutan itu, siang dan malam, Najib dengan dibantu Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memerah otak bagi memulihkan keadaan sama ada dari sokongan politik, ekonomi mahupun sosial. Justeru muncullah satu demi satu langkah transformasi dalam semua bidang bagi membolehkan BN kembali meraih sokongan rakyat. Program Transformasi Politik (PTP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilihat lambang kesungguhan Najib dalam mentadbir negara. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Najib an Muhyiddin sanggup turun ke bawah bertemu rakyat melalui program "walkabout". Setiap lapisan rakyat ditemui dan pelbagai kaum didekati, masalah mereka didengari serta diselesaikan. Walaupun menghadapi pelbagai tekanan, tohmahan dan kerenah pembangkang yang semakin ghairah mencari kuasa politik, namun ia tidak mampu menggugat ketekunan Najib. "Tak kira apa yang dikatakan oleh sesetengah pihak yang tak bertanggungjawab mengenai saya, keluarga saya atau pentadbiran saya, namun apa yang pasti saya telah berusaha pastikan setiap keputusan yang saya ambil sebagai Perdana Menteri adalah yang terbaik mungkin," kata Najib. Bagaimanapun segala usaha Najib boleh tergugat jika BN dan Umno tidak mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum atau paling penting mengekalkan kuasa. Buat masa ini tidak dapat dinafikan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan Najib semakin meningkat dan imej kerajaan BN semakin melonjak. Namun begitu, ia bergantung sejauh manakah pemimpin Umno dan BN berusaha mengekalkan momentum sokongan berkenaan dengan memastikan ia diterjemahkan dalam bentuk undi. Bagi pemimpin-pemimpin Umno, mereka tidak boleh lagi bersikap hipokrit dengan mengamalkan politiking sesama sendiri. Mereka sudah berjanji dan melafazkan ikrar taat setia untuk patuh kepada apa juga keputusan pucuk pimpinan mengenai calon. Siapa sahaja yang akan dipilih sebagai calon melalui kriteria calon boleh menang, maka mereka perlu patuh dan taat serta bekerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon berkenaan. Berbanding 2008, Umno dikatakan jauh lebih selesa untuk menghadapi pilihan raya umum kali ini, malahan dilaporkan juga orang Melayu yang sebelum ini menolak Umno sudah kembali kepada parti itu. Justeru pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat tidak harus menyusahkan Najib dengan mengamalkan budaya cah keting atau tikam belakang sehingga memungkinkan parti itu tewas dalam pilihan raya umum nanti. Begitu juga dengan mereka yang sudah lama memegang jawatan dan tidak mampu lagi mengalas tanggungjawab tersebut. Cerminlah diri, apakah benar kita calon boleh menang seperti mana ditetapkan oleh Perdana Menteri, jika tidak berundurlah dengan sukarela, jangan menyusahkan Najib sehingga beliau terpaksa menghantar wakil untuk "majlis pujuk memujuk". Umno tidak ada masa untuk semua itu, kalau merasakan pemilihan kita hanya akan menyebabkan parti akan kalah maka bersikap terbukalah dengan menyokong calon yang dipilih parti, apa yang penting parti menang. Bagaimanapun istilah "jangan menyusahkan Najib" ini bukan eksklusif untuk Umno sahaja malahan komponen BN juga perlu mengamalkan sikap yang sama. Mereka juga tidak terkecuali untuk menyenaraikan calon boleh menang dan tidak boleh beranggapan syarat berkenaan hanya untuk Umno sahaja. Berbanding Umno, tanggungjawab komponen BN terutamanya MCA, MIC dan Gerakan jauh lebih berat. Mereka perlu menyakinkan pengundi-pengundi bukan Melayu untuk kembali kepada BN dan dalam soal ini mereka harus mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menewaskan pembangkang termasuklah di Pulau Pinang. Janganlah mengamalkan sikap menyerah kalah sebelum berperang terutamanya di Pulau Pinang yang kini dikuasai oleh DAP yang bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS. Komponen BN harus berusaha memberikan penjelasan kepada golongan bukan Melayu mengenai usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Najib untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Hakikatnya, rakyat sudah melihat kesan daripada gagasan 1 Malaysia yang menyaksikan kerajaan di bawah kepimpinan Najib berusaha meringankan beban mereka dalam segala segi.
|
NFC paku terakhir keranda Umno Posted: 25 Dec 2011 12:07 PM PST Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, penulis minum bersama beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di kafe. Sedang kami berbual-bual, datang seorang Timbalan Menteri, sambil membawa secawan kopi, duduk bersama-sama dengan kami semeja.
|
Tolak BN, selamatkan wang rakyat Posted: 25 Dec 2011 11:35 AM PST Setiausahanya Ustaz Azhar Yahya berkata, rasuah dan penyelewengan harta negara hanya boleh dibendung dengan menjatuhkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang.
|
Posted: 24 Dec 2011 10:43 PM PST Hasan bukan sahaja menafikan tuduhan menemui pemimpin Umno malah menuduh Mustafa yang sebenarnya melakukan pertemuan seperti itu. Isu pertemuan dengan pemimpin Umno -malah dengan mufti yang dilihat pro-Umno - menjadi isu sensitif dalam PAS sejak pilihan raya 2008. Pertemuan seperti itu dilabel sebagai usaha berbaik atau bersatu dengan parti pesaing utama PAS itu, yang bersaing merebut undi Melayu Muslim. Kekecohan di media berhubung Hasan tercetus ekoran kenyataan Saari Sungib, bekas ahli PKR yang kini memegang jawatan ketua penerangan PAS Selangor yang memberi gambaran Hasan tidak akan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kerana ditolak ahli akar umbi. Saari walau bagaimanapun tidak mendapat perhatian selepas tercetus kekecohan, apabila tumpuan ditujukan pada Hasan dan Nasharudin Mat Isa, bekas timbalan presiden. Kedua-dua Hasan dan Nasharudin dituduh mahu menyertai Umno ekoran perselisihan pendapat dengan pandangan popular dalam parti. Kedua-duanya juga tidak popular dengan media parti. Hasan walau bagaimanapun mempunyai kelebihan tersendiri, terutama di Selangor ekoran populariti beliau dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa mengira kesetiaan parti. Walaupun telah diturunkan dari kedudukan pesuruhjaya negeri, Hasan masih mempunyai pengaruh di dalam dan luar parti, dan terus membinanya hasil daripada kontroversi yang dilaluinya selama ini. Tindakannya memohon maaf kerana menyerang gagasan negara berkebajikan yang dipersetujui parti mampu memperbaiki sikap ramai terhadapnya, dan memperlihatkan beliau sebagai ikhlas. Kecamannya terhadap ide negara berkebajikan menyebabkan pihak yang sebelum itu menyokongnya terutama kepimpinan pemuda, berundur dan menegaskan sokongan terhadap program parti itu. Kontroversi melibatkan Hasan, pertama kali dalam kes gereja di Damansara Utama, Selangor, telah memberi kesan kepada PAS disebabkan cara isu itu ditangani yang kelihatan berdasarkan perkiraan politik semasa menjaga undi bukan Muslim. Tekanan terhadap Hasan memudahkan permainan musuh parti yang mengaitkan layanan terhadap exco negeri Selangor itu sebagai akibat sikap yang membela kepentingan umat Muslim, antaranya isu kawalan penjualan arak. Pendirian Hasan dalam hal berkaitan ditentang hebat oleh DAP dan pemimpin PAS lain yang dilihat terlalu menjaga hati kaum bukan Muslim. Layanan terhadap Hasan - dan juga Nasharudin - dikemukakan oleh Umno terutamanya sebagai bukti sikap yang tidak selari dengan DAP dan tuntutan bukan Muslim akan mendatangkan akibat buruk, yang dikenakan oleh parti Islam itu sendiri. Episod ini memberi kesan kepada undi Melayu, terutama di negeri Selangor, selain mendedahkan lagi kecelaruan dalaman PAS dalam menghadapi politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-12 bersama gabungan pembangkang PR.
|
Perkasa kecam pemimpin gereja kerana persoal perlembagaan Posted: 24 Dec 2011 05:46 PM PST Dr Eu dilaporkan sebagai berkata, Artikel 153 perlembagaan persekutuan seperti membuli jika hanya melindungi hak satu kaum sahaja. Beliau berkata demikian dalam majlis jamuan teh Krismas yang turut dihadiri Menteri Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail serta beberapa ahli politik BN dan Pakatan Rakyat . Perkasa berpendapat paderi tersebut tidak faham apa Artikel 153 perlembagaan negara atau sengaja mahu menimbulkan ketegangan. Setiausaha Agung, Syed Hasan Syed Ali berkata, imam Islam tidak pernah mengusik perlembagaan negara. "Nampaknya serangan terhadap Artikel 153 sudah di tahap kemuncak apabila ketua agama lain juga mempersoalkannya. "Lebih sedih ianya dipersoalkan dalam gereja oleh paderi," katanya dalam kenyataan hari ini.
|
DR M perlekeh negara peminjam Bank Dunia Posted: 24 Dec 2011 05:43 PM PST Malaysia yang ketika itu Menteri Kewangannya, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad merupakan negara terawal yang mengumumkan telah berjaya keluar dari masalah kejatuhan ekonomi. Maka, di media arus perdana hari itu, Mahathir dengan gahnya mengumumkan ekonomi negara ini telah berjaya dipulihkan dengan menggunakan pendekatan teori-teori ekonominya. Bukan itu sahaja, malah beliau turut memperlekehkan negara-negara Asia lain yang menerima bantuan pinjaman dari Bank Dunia yang dikatakannya masih belum keluar dari cengkaman kejatuhan ekonomi Asia. Menurutnya ketika itu, tindakan mengambil pinjaman dari Bank Dunia telah menyebabkan negara-negara tersebut terpaksa mengikut telunjuk Bank Dunia dalam menguruskan ekonomi masing-masing berbanding negara ini yang menolak bantuan dana tersebut. Tindakan seperti itu tentunya tidak digemari oleh Mahathir apabila ianya bertentangan dengan amalan beliau yang mengutamakan projek -projek mega dan menyelamatkan beberapa syarikat terpilih. Bagi kebanyakan penganalisis ekonomi tempatan dan antarabangsa ketika itu pula menganggap pengumuman Menteri Kewangan Malaysia itu sebagai satu 'kejutan'. Saya kira tentu ramai yang masih ingat akan sebuah iklan animasi yang menunjukkan sekumpulan lelaki mendayung sebuah perahu naga di dalam lautan bergelora bagi menggambarkan kejayaan negara menempuhi gelora ekonomi. Meskipun realiti kehidupan rakyat terbanyak masih tidak menampakan apa-apa perubahan dengan kadar pengganguran yang tinggi, kos sara hidup meningkat dan sebagainya, ramai yang percaya ekonomi negara ketika itu benar-benar telah pulih dan ianya adalah hasil dari kebijaksanaan Mahathir menguruskan ekonomi negara. Hari ini, setelah 13 tahun krisis mata wang Asia berlalu, ramai antara kita masih lagi terkenang-kenang akan tindakan bijak Mahathir menguruskan ekonomi negara ketika menghadapi krisis matawang di Asia pada ketika itu. Selama 13 tahun juga rakyat negara ini cukup berbangga kerana negara ini pernah memiliki seorang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan yang bijak menguruskan ekonomi dan tegas menolak bantuan dana dari Bank Dunia sekaligus mengelakkan kita dari terpaksa mengikut telunjuk orang luar dalam menentukan hal ehwal ekonomi negara.
|
`Tiada ruang untuk saya bersuara dalam Harakah’ Posted: 24 Dec 2011 08:54 AM PST Katanya, keadaan itu ketara lebih-lebih lagi isu membabitkan dirinya sejak dua minggu lepas, malah beliau tidak diberikan ruang dalam media parti sendiri untuk bersuara. "Kalau buat analisis kajian kandungan dalam Harakah berhubung polemik ini sejak dua mniggu lepas berapa peratus ruang yang diberikan untuk Hasan Ali? "Masa saya jadi Pesuruhjaya PAS Selangor pun tak banyak peruntukan diberikan kepada saya berbanding orang lain, kadang-kadang ruang diberikan kepada parti komponen lain lebih besar berbanding golongan tertentu dalam PAS sendiri," katanya dalam sidang media di rumahnya di sini hari ini. Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai temuramahnya dengan TV3 menerusi slot 'Soal Jawab' Rabu lalu. Katanya, perkara ini dapat dibuktikan apabila Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang pernah memanggil media termasuk Harakah untuk menjelaskan pandangannya mengenai isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC). `Mungkin perintah orang berkuasa' "Biasanya kalau timbalan mursyidul nak keluar akhbar mereka ini didahulukan tapi kemungkinan atas perintah orang yang berkuasa dalam Harakah didapati artikel sampai sekarang tak tersiar. "Bayangkan kalau berita timbalan mursyidul am pun tak keluar apatah lagi Hasan Ali," katanya yangmendakwa turut mendapat aduan yang sama daripada anggota dan pimpinan PAS yang lain mengenai isu ini.
|
Mustafa Ali enggan jawab tuduhan mahu jumpa Umno Posted: 24 Dec 2011 08:51 AM PST Orang kuat PAS itu memberi alasan bekas pesuruhjaya PAS Selangor sudah tidak lagi menyerang PAS. "Dia (Dr Hasan) sudah berhenti lawan PAS, saya pun berhenti cakap. "No komen, biar dia kata apa pun. Kalau dia nak bercakap, biarlah dia bercakap," katanya ketika dihubungi hari ini. Mustafa berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Dr Hasan bahawa setiausaha agung PAS itu mahu berjumpa pemimpin Umno. Dalam sidang media baru-baru ini, Mustafa mendakwa exco agama kerajaan negeri Selangor mengatur rancangan mahu berjumpa pemimpin Umno. `Saya sign surat' Selain Dr Hasan, kata Mustafa, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa juga mahu berjumpa dengan pemimpin Umno. Bagaimanapun, dalam sidang media di rumah Dr Hasan di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur pagi tadi, Adun Gombak Setia itu menafikannya.
|
‘Bukan saya jumpa pemimpin Umno tapi Mustafa Ali’ jawab Hasan Posted: 23 Dec 2011 01:27 PM PST Menurut Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya merupakan fitnah dan palsu. Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana dakwaan itu dibuat oleh setiausaha agung kepada parti yang berteraskan Islam. "Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai pertemuan saya dengan mereka (Umno) sama ada pimpinan Umno peringkat bawahan, pertengahan atau atasan seperti yang dinyatakan (Mustafa). "Sekali lagi Mustafa Ali terperangkap dengan prasangka buruk dan api fitnah sesama Muslim. Sebagai setiausaha agung sebuah parti yang berteraskan Islam, tuduhan-tuduhan liar dan serkap jarang seperti itu tidak selayaknya keluar dari mulut seorang setiausaha agung yang berwibawa," katanya pada sidang media di kediamannya di sini. Mustafa sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Hasan dengan agenda Umno. Mustafa berkata ia merujuk kepada satu pertemuan antara Hasan, bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan tiga individu lain di sebuah hotel di ibu negara pada bulan Ramadan lepas. Dalam sidang media itu, Hasan yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor mendedahkan individu yang kerap mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno adalah Mustafa.
|
You are subscribed to email updates from Malaysia Today - Your Source of Independent News To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan