Malaysia Today - Your Source of Independent News |
- Suara rakyat: Bersih 2.0 tewaskan 1Malaysia
- Nik Aziz sokong Bersih 3.0 jika tidak berubah
- Bersih dan Ambiga
- BERSIH 2.0 berjaya, polis dan media gagal
Suara rakyat: Bersih 2.0 tewaskan 1Malaysia Posted: 12 Jul 2011 03:59 PM PDT "Terbukti sekali Bersih 2.0 mewakili suara rakyat berbilang kaum daripada Melayu, Cina dan India sebagai rakyat Malaysia," kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar). Justeru, beliau mencabar Najib Razak supaya membuktikan gagasan 1Malaysia benar-benar berlaku dan diperjuangkan dalam perjuangan politiknya berdasarkan apa yang telah berlaku dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Katannya, sepanjang beberapa minggu sebelum 9 Julai, Himpunan Bersih 2.0 telah dimomokkan sebagai pertubuhan haram di kaca mata Najib dengan pemberitaan yang pincang dan berat sebelah. Sedangkan, menurutnya hakikat sebenarnya Bersih adalah tuntutan dari gabungan puluhan NGO yang berdaftar secara sah dan mereka menuntut supaya wujud pilihan raya yang lebih adil di Malaysia. "Kemuncaknya pada tarikh itu juga merupakan kayu ukur yang penting bagi mengetahui mana satukah yang benar-benar merupakan suara majoriti rakyat Malaysia atau 1Malaysia," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau berkata, gelombang rakyat yang berkumpul di Kuala Lumpur walaupun berdepan dengan ugutan, sekatan dan halangan dilakukan oleh polis menggambarkan satu ancaman yang baru kepada Najib. Menurutnya, media pro BN yang cuba menutup perkara sebenar dengan cuma memaparkan berita bohong dengan mengatakan hanya bangsa Melayu sahaja yang menyertai perimpunan tersebut. "Ia tidak lain dengan niat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan penganjur Bersih 2.0," katanya. Sedangkan, ujarnya Umno BN sepatutnya mempelawa ahli MIC dan MCA untuk turut serta berdemo dalam kelompok pro BN yang berbaju merah, mereka juga mengaku bahawa kumpulan mereka adalah ejen pertahanan kedaulatan negara tetapi hakikatnya semua kenyataan tersebut layak dibakul sampahkan sahaja. Menurutnya lagi, apa yang boleh dilihat melalui rakaman yang tersiar dalam media baru seperti Youtube, blog dan sebagainya jelas menunjukkan kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Patriot cuma berkumpul dalam jumlah yang berskala sangat kecil yang terdiri daripada bangsa Melayu sahaja. "Mengapa jadi begini?" soalnya yang juga Adun Titi Serong. Katanya, berdasarkan bukti rakaman jelas menggambarkan bahawa kumpulan itu menerima 'layanan baik' daripada pasukan FRU semasa mereka berhimpun. Beliau menambah, kumpulan itu juga sempat melarikan diri setelah gas pemedih mata dilepaskan ke arah mereka berbanding kelompok Bersih 2.0 yang dikejar sehingga ditangkap kemudian dibelasah oleh polis walaupun mereka sedikitpun tidak melawan. Justeru, tambahnya, Najib sepatutnya merasa malu dengan kumpulan Patriot, Perkasa dan Pemuda Umno kerana jelas ketiga-tiganya dianggotai oleh rakyat yang pengecut dan tidak menggambarkan 1Malaysia seperti yang diperjuangkan Najib sendiri dalam gagasan politiknya. "Nampaknya Najib keseorangan melaungkan 1Malaysia dalam keadaan sekelompok Melayu sahaja yang masih pertahankan kuasa Umno dan BN," ujarnya. Menurutnya, majoriti banga Cina dan India sudah bersama Pakatan Rakyat untuk menghukum BN dalam PRU 13 yang bakal menjelang. Beliau berkata, Bersih 2.0 terbukti merupakan suara rakyat yang benar-benar tulen apabila ia dianggotai oleh seluruh bangsa dan generasi di Malaysia. "Suara keramat 9 Julai membuktikan rakyat berbilang kaum mahukan perubahan," ujarnya. Beliau menambah, 1Malaysia yang dilaungkan oleh Najib cuma retorik dan pembohongan bagi mengaburi mata rakyat demi meraih sokongan dalam keadaan mereka telah gagal dalam menunaikan amanah yang diserahkan oleh rakyat lebih 50 tahun lalu.
|
Nik Aziz sokong Bersih 3.0 jika tidak berubah Posted: 12 Jul 2011 03:52 PM PDT Menurutnya, pilihanraya adil dan bersih dituntut dalam Islam kerana ianya menyentuh soal kepimpinan negara.
|
Posted: 12 Jul 2011 03:43 PM PDT Anak saya salah seorang ahli jawatankuasa kecil penganjur Himpunan Sejuta Belia yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kebetulan sahabat lama saya. Antara komennya adalah "kenapa menyokong Bersih yang diketuai oleh Datuk S Ambiga itu." Lalu dikaitkanlah Ambiga adalah peguam Lina Joy dan penyokong IFC (Inter Faith Commision). Sebenarnya inilah isu Bersih di kalangan Umno dan penyokong tegar mereka sebenarnya. Ia tidak ada bezanya dengan apa yang dibawa ke minda para anggota keselamatan yang bertugas di hari 9 Julai lalu. Ramai peserta Bersih yang ditangkap disumpah seranah oleh para rakan-rakan polis kononnya padan dengan muka kamu kerana mengikut telunjuk Ambiga yang Hindu itu dan cuba memurtadkan umat Islam itu. Sekali pandang, kita yang berfikiran waras akan tergelak mendengar hujjah itu. Tetapi kerana kesian kepada mereka yang sudah terperangkap dengan indoktrinasi ini, kita perlu memahamkan mereka apakah sebenarnya yang berlaku dan pemikiran bagaimanakah yang benar. Saya menerima email ini dari seorang pembaca Harakahdaily: Assalamualaikum Saya ada mendengar desas – desus , Pemimpin BERSIH 2.0 Datuk Ambiga merupakan peguam Lina Joy yang murtad. Dia juga antara individu yang menyokong IFC. Jika benar , macam mana boleh PAS sokong dan mengangkatnya sebagai ketua BERSIH, walhal terang lagi nyata dia musuh ISLAM. Allah berfirman 14 kali dalam al-Quran jangan kita mengangkat kafir menjadi pemimpin kita. Wallahualam. Email ini ringkas sahaja tetapi inilah yang cuba dihantar ke dalam pemikiran masyarakat oleh Umno sekarang. Isu inilah dimainkan oleh rakan-rakan anak saya yang menyokong Himpunan 1 Juta Belia itu di wall facebooknya. Ia juga digunakan oleh polis yang menyergah para peserta perhimpunan Bersih 9 Julai dan juga blog-blog pro Umno. Kepada penghantar email ini, saya telah menjawabnya secara ringkas sebagaimana berikut: Tuan, Saya tak tau dia peguam Lina Joy atau tidak tetapi yang pasti Ambiga juga peguam saya dan Datuk Husam Musa dalam kes lawan ECM Libra. Apakah dia penyokong negara Islam yang PAS bawa hanya kerana menjadi peguam kami. Sebenarnya tidak begitu, dia hanya seorang peguam bukan Islam beragama Hindu dan percaya kepada hak asasi manusia. Dia jadi pengerusi Bersih bukan di angkat PAS tetapi oleh 62 NGO untuk perjuang pilihanraya yang adil ada bersih (bebas) ... PAS hanya salah satu penyokong Bersih bukan (yang) lantik Ambiga. ZS Inilah yang sebenarnya. Inilah yang telah mengikat ratusan ribu rakyat Malaysia dan antarabangsa pada 9 Julai lalu. Kita bersatu bukan kerana kita satu agama atau satu bangsa tetapi kerana satu tujuan yang universal iaitu untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Ini kerana, dengan pilihan raya yang adil dan bersih sahaja kita akan mengangkat pemimpin dan membentuk kerajaan yang terbaik untuk kita. Ketika Bersih membentangkan agenda perubahannya di Dewan Pehimpunan China, semua pihak telah dipanggil untuk memberikan sokongan kepadanya termasuklah parti-parti politik. Yang dijemput adalah Umno, MCA, MIC di samping anggota Pakatan iaitu PAS, DAP dan juga PKR. Namun pada hari itu, kerusi yang dikhasnya untuk Umno, MCA dan MIC kosong sahaja tanpa penghuni. Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi datang ke majlis itu dan diberikan masa 3 minit sahaja untuk berucap. Para pemimpin NGO yang banyak berucap. Di majlis itulah, Bersih membentang lapan tuntutan dalam agenda perubahan yang hendak dibuatnya. Lapan agenda itu adalah: Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0 1. Bersihkan senarai undi • Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan 'pengundi hantu' seperti orang yang telah meninggal. • Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang. 2. Mereformasikan undi pos • SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi. • Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi. • Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos. 3. Gunakan dakwat kekal • Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali. 4. Masa kempen minima 21 hari • Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja. • Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja. 5. Akses media yang bebas dan adil • RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding. • Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan. • Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka. 6. Kukuhkan institusi awam Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia. Contohnya : Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil. Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak. Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa. Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang. 7. Hentikan rasuah Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin. Pembelian undi harus dihentikan! Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan. 8. Hentikan politik kotor BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor. Cadangan untuk Najib Sebenarnya inilah isu yang ada didepan kita bukannya cuba mengalihkan isu sebenarnya. Apa salah Umno selaku parti utama yang memerintah negara bertindak lebih rasional. Saya bersetuju dengan pandangan bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir, Matthias Chang. Tiga cadangan Matthias adalah:- 1) Arahkan para penasihat politik beliau (PM Najib) menonton siri TV "The Three Kingdoms" dan belajar asas-asas strategi politik. 2) Hantar sepupu beliau, Datuk Seri Hishamudin Husein iaitu Menteri Dalam Negeri untuk dianalisa jiwanya untuk "Enlarged Ego Syndrome" (EES) dan menyusun semula semua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia. 3) Masukkan ke dalam peti sejuk semua pimpinan Pemuda Umno pimpinan Khairy Jamaludin. Ini kerana masalah sebenar Najib bukannya pembangkang tetapi dalaman BN sendiri. Jadi, Datuk Seri Najib, marilah berfikir secara yang rasional bukan terperangkap dalam kapsul masa kerana kini zaman facebook, youtube dan twitter.
|
BERSIH 2.0 berjaya, polis dan media gagal Posted: 12 Jul 2011 03:40 PM PDT Bersih 2.0 bukan pengacau. Buktinya puluhan ribu rakyat berjaya berhimpun menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0. Rakyat tetap menyokong perhimpunan pada 9 Julai lalu meskipun dikacau oleh polis dan dikongkong oleh media perdana milik penguasa Umno-BN. Polis telah melaksana strategi perang pencegahan terhadap rakyat yang cintakan pemulihan demokrasi negara. Tangkapan awal dibuat, sekatan jalan ditingkatkan. Sehingga 59 laluan masuk ke Bandaraya Kuala Lumpur. Karenah polis telah mendaruratkan Kuala Lumpur pada 9 Julai. Saturday seven nine Hakikatnya 'Saturday seven nine' telah mencatat sejarah kebangkitan rakyat menzahirkan kecintaan untuk bermesra dengan amalan pilihan raya bersih. Setara pula berlaku penglibatan polis memerangi baju kuning dengan cara merampas dan menangkap serta mereman penjual baju kuning Bersih 2.0. Tindakan yang tidak bertamadun, unlawful dan bersifat rimba. Maka, ia lambang kegerunan penguasa Umno-BN kerana mengontrol kementerian polis supaya jadi sedemikian. Polis sudah dijadikan perisai menyekat serangan baju kuning. Sekali gus menyerlahkan kekencangan denyutan nadi pemimpin Umno-BN, khususnya Datuk Seri Mohd Najib selaku presiden parti yang memilihnya sebagai perdana menteri ke-6 Malaysia. Cukuplah. Layaknya Najib sebagai pemimpin Umno terakhir!
Pengongkong rakyat Kesannya, gabungan lebih 80 NGO yang sah bergabung 'kecintaan' untuk menuntut pihak kerajaan (Yang Di-pertuan Agong) melaksanakan lapan tuntutan sudah dianggap pertubuhan haram. Apakah haram, NGO (yang sah) bergabung cita rasa ke arah mencapai kebersihan pilihan raya? Maka sukacita dinyatakan, kalimah 'haram' merupakan kalimah terdesak yang menggambarkan ketempangan demokrasi yang memenangkan pemimpin Umno-BN disebabkan undi pos, penipuan senarai pemilih, rasuah politik, penggunaan terlarang jentera kerajaan Pusat dan kempen media yang berat sebelah. Natijahnya kemenangan pilihan raya diraih Umno-BN selayaknya bertaraf 'haram' tetapi dihalalkan oleh kuasa dan kongkongan minda rakyat daripada memahami nilai-nilai kebersihan pilihan raya. Sebagaimana diperjuangkan oleh Bersih 2.0 atas hasrat untuk demokrasi yang segak dan tampan, adalah ingin memperbaiki nilai pendemokrasian di Malaysia. Kesannya lebih daripada 65 peratus ahli perhimpunan Bersih 2.0 disertai anak muda Malaysia yang pelbagai kaum. Ia bukan 1Malaysia tetapi sepakat untuk demokrasi segak dan tampan! Meskipun, rakyat dikongkong daripada menganggap Bersih 2.0 sebagai lambang penyatuan ke arah suatu amalan pilihan raya telus, bersih dan adil. Tidak kurang juga, polis dan media terus mengecap Bersih 2.0 sebagai pengacau, pertubuhan haram dan penyekat aktiviti ekonomi rakyat. Natijahnya, tindakan polislah (menutup jalan, menangkap dan mengarah kedai-kedai ditutup pada hari 9 Julai) penyebab utama peniaga terkandas untuk masuk berniaga dan pembeli pula dihalang membeli belah. Sedangkan puluhan ribu (menurut Al-Jazeera, 100 ribu) ahli perhimpunan Bersih 2.0 yang hadir sepatutnya boleh berbelanja sakan dan mewah. Atas realiti ini, adakah boleh diterima akal apabila polis mengecap ahli perhimpunan sebagai pengacau kepada peniaga. Realitinya, tindakan polis yang menembak, menggempur dan menangkap ahli perhimpunan pencetus kekacauan sebenar.
Media asing lebih adil Ketika melihat rakaman media asing Al-Jazeera tentang perhimpunan Bersih 2.0, ternyata kalimah mereka gunakan adalah realistik. Ahli perhimpunan disifatkan sebagai pembantah kepada perjalanan pilihan raya yang disaluti amalan tidak demokratik kerana undang-undang pilihan raya yang tidak adil. Lalu dianggapkan urusan perhimpunan sebagai saluran untuk menuntut Najib menggubal undang-undang pilihan raya yang adil. Ia jauh berbeza dengan laporan media lokal yang terlampau negatif untuk Bersih 2.0, malah turut mengundang persepsi, betapa media tersebut kuat dikontrol oleh penguasa Umno-BN . Meskipun semua pengamal media boleh menyifatkan orientasi media itu sudah melanggar etika pemberitaan kerana sarat dengan kandungan kepalsuan, pembohongan dan pemfitnahan melampau. Fakta palsu Di antara nilai terlampau media lokal yang dikontrol penguasa Umno-BN ialah menyiar hal Bersih 2.0 pada 9 Julai berlapikkan ulasan atas fakta palsu, bohong dan fitnah. Misalnya akhbar berita harian telah menggunakan 'imej jadian' dengan mempamerkan lagak seorang pemuda seumpama pemuda Palestin sedang melontar batu ke arah polis Israel. Ia suatu ciptaan, bukan realiti tentang perhimpunan Bersih 2.0. Mana ada lagak pemuda sebegitu! Ia suatu teknik kepalsuan ala media Israel (Yahudi) yang bertujuan mencemarkan misi perhimpunan Bersih 2.0. Media lokal itu juga turut mesra pembohongan apabila dikesan tela mengabaikan fakta sebenar tentang perhimpunan Bersih 2.0. Di antaranya meletakkan status Bersih 2.0 sebagai gagal. Lalu menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara yang kononnya ahli perhimpunan hanya sekitar lima/enam ribu sahaja. Sedangkan dalam lembaran akhbar sama turut mengesahkan lebih 1,600 telah ditangkap. Jika benar gagal, kenapa perlu tangkap sampai hampir dua ribu orang? Demikian pula, pembohongan paling tidak berperikemanusiaan turut disiarkan melalui kenyataan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur berhubung pengakuan di sebalik kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad. Kematian itu dikatakan akibat sakit jantung, sedang ahli keluarganya mendakwa arwah tidak pernah mengidap sakit jantung. Apakah kepakaran polis telah mengambil alih kepakaran seorang doktor? Hanya media yang sewel seumpama media lokal tersebut sahaja yang mengiktiraf kenyataan polis sebagai benar! Satu lagi, amatlah malang apabila media lokal tersebut sudah menjadi mata pedang yang membunuh watak akibat mainan fitnah yang dihamburkan kepada masyarakat. Ia berkaitan dengan laporan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicap sebagai petualang, penderhaka dan pengacau. Ia suatu fitnah besar. Maka lagak media lokal itu seumpama hakim yang pendek akal kerana mengecap Anwar dengan niat mematikan wataknya sebagai politikus yang berprinsip. Termasuklah juga menyiarkan pandangan yang anti Bersih 2.0, kononnya Sasterawan Negara, A. Samad Said sebagai seorang yang bijak telah digambarkan semacam watak yang pendek akal kerana boleh bersama-sama Datuk Ambiga menuntut lapan perkara ke arah pilihan raya yang adil! Rumusannya, Bersih 2.0 semestinya dianggap berjaya mengembalikan semangat dan kesedaran rakyat tentang demokrasi. Ia turut mengimbau sejarah Bersih pada 10 November 2007. Momentum itu harus disegarkan untuk meluncur laju menghadapi pilihan raya umum ke-13. Justeru rakyat yang masih keras hati kerana ingin kekalkan nilai kekotoran pilihan raya di Malaysia sewajarnya berubah. Berubahlah dan hayatilah misi pendemokrasian yang dibawa oleh Bersih 2.0. Pilihan raya bersih pastinya diberkati Allah SWT. Hanya individu yang beriman memiliki hati yang bersih. Hati yang bersih adalah kekuatan untuk Bersih 2.0 mencipta landskap politik baru pada pilihan raya umum ke-13.
|
You are subscribed to email updates from Malaysia Today - Your Source of Independent News To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan