Jumaat, 10 Mei 2013

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Pakatan sahkan Khalid MB Selangor

Posted: 09 May 2013 10:00 PM PDT

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution, PKR telah menamakan dua orang sebagai calonnya untuk jawatan itu.

Berdasarkan nama itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah bersetuju melantik Khalid untuk meneruskan perkhidmatannya, maka Khalid dipilih.

Tengahari tadi, Pengerusi PKR Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kesal dengan cara perlantikan ini kerana ia tidak melalui prosedur mesyuarat.

Namun beliau menafikan akan meletakkkan jawatannya dalam parti atau ADUN dan anggota Parlimen sebagaimana disebarkan sebelum ini.

Beliau menyifatkan ianya sebagai kerja-kerja Umno.

Sebelum ini, Tuan Guru Abdul Hadi dan Lim Guan Eng telah menghantar surat kepada Tuanku Sultan Selangor untuk bersetuju perlantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Saifudin:

Parti KEADILAN Rakyat memanjatkan rasa syukur kami ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua.

Bagi pihak KEADILAN, saya juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor, juga kepada jentera ketiga-tiga Parti KEADILAN, PAS dan DAP yang telah bertungkus lumus dan penuh komited dalam amanah yang dipikul untuk memastikan kepercayaan rakyat Selangor terus diberi kepada Pakatan Rakyat.

Kejayaan ini juga disambut dengan penuh rasa tawaddhu' dan rendah diri, terutama dalam proses untuk menamakan seorang Menteri Besar bagi memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pentadbiran negeri. KEADILAN sesungguhnya amat berbesar hati dan menghormati sokongan oleh PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari Parti KEADILAN Rakyat.

Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, KEADILAN telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN yang berjaya memenangi kerusi mereka dalam pilihanraya umum Negeri Selangor baru-baru ini kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan KEADILAN bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk  diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat  dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

 

Sekian, terima kasih.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SETIAUSAHA AGUNG

PARTI KEADILAN RAKYAT

 

Azmin persoal surat Presiden PKR

Posted: 09 May 2013 05:16 PM PDT

Azmin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata surat yang dihantar Wan Azizah semalam itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dan persetujuan bersama oleh semua ADUN parti itu.

"Oleh itu, atas inisiatif rakan-rakan kami telah mengadakan mesyuarat melibatkan Majlis Pimpinan (PKR) Negeri Selangor petang semalam dan memutuskan beberapa nama calon yang layak untuk jawatan menteri besar dan diserahkan kepada Wan Azizah semalam.

"Saya tidak persoalkan keputusan PAS-DAP berhubung calon menteri besar, tapi saya bimbang tentang keputusan surat yang dihantar ke istana tanpa terlebih dahulu berbincang dengan Adun PKR lain, yang juga satu daripada tiga komponen dalam Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Azmin berkata, setakat ini semua ADUN PKR yang dipilih oleh rakyat belum dipanggil bagi mendapatkan pandangan mereka tentang calon menteri besar, termasuk dirinya.

Beliau juga mengakui konsensus bagi membuat sebarang keputusan dalam Pakatan Rakyat adalah baik tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku di dalam PKR.

Dalam pada itu, Azmin turut mendesak kepimpinan negeri yang bakal dipilih melakukan reformasi pentadbiran dengan menggunakan rizab bernilai RM2.6 bilion dengan bersikap responsif terhadap permasalahan rakyat seperti isu jalan berlubang, sampah yang tidak dipungut, masalah bekalan air dan banjir.

Berhubung dakwaan beliau kemaruk jawatan menteri besar, Anggota Parlimen Gombak itu berkata sekiranya beliau bersikap sedemikian, jawatan itu telah pun disandangnya sejurus pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2008.

Katanya jawatan itu telah ditawarkan kepada beliau oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah parti sangat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim berikutan amalan demokrasi yang melampau dalam pentadbiran negeri, namun menolaknya demi menjaga kestabilan parti.

"Saya tegaskan bahawa ini bukan isu Azmin Ali dipilih sebagai menteri besar, isunya adalah proses pemilihan calon tersebut untuk dipersembahkan kepada Sultan mestilah melalui perundingan yang telus seperti dituntut Al-Quran tetapi jelas dalam proses memilih calon menteri besar, anjuran Al-Quran ini tidak dipatuhi.

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved