Malaysia Today - Your Source of Independent News |
Azmin kritik bajet Selangor, gesa MB ambil pendekatan kolektif Posted: 03 Dec 2013 01:58 PM PST Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.85 billion melibatkan belanja mengurus RM1.225 billion dan perbelanjaan pembangunan RM625 juta. "Mengikut pengalaman secara singkat saya semasa di Kementerian Kewangan, amalan kewangan yang berhemah adalah perbelanjaan mengurus tidak boleh terlalu besar. "Ia mesti seimbang dengan pembangunan. Ini kita tidak boleh terima, maka di negeri Selangor, kita mahu satu perbelanjaan yang berhemah," kata Azmin pada hujung minggu lalu dalam satu wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insider. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) itu juga membidas bajet negeri Selangor yang terlalu menumpukan kepada soal pendapatan tetapi tidak ke arah perbelanjaan pembangunan. "Prinsip bajet ini bukanlah soal untuk meningkatkan pendapatan tetapi ia juga untuk mengurus perbelanjaan. "Perbelanjaan itu perlu dibuat secara berhemah serta berorientasikan pembangunan rakyat yang boleh menjana aktiviti dan pertumbuhan ekonomi," katanya. Walaupun kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR) berjaya meningkatkan rizabnya kepada RM2.7 bilion, Timbalan Presiden PKR itu menyifatkan ia sebagai sia-sia selagi rakyat tidak dapat merasainya. "Sebab itu BBC menuntut sementara kita mempunyai rizab yang besar direkodkan RM2.7b, tetapi ianya tidak bermakna kalau ia tercatat atas kertas, tetapi tidak dimanfaatkan dan dirasai oleh rakyat melalui pelaksanaan pembangunan. "Apa makna ada rizab besar, kalau jalan masih berlubang, kalau sampah tidak dipungut, banjir masih berulang, kalau cerun masih alami kejadian tanah runtuh, kalau masalah denggi masih tertinggi dalam negara," katanya. Azmin berkata, pentadbiran kerajaan negeri Selangor perlu menjadi kerajaan yang mengambil peduli tentang rakyat, serta mengamalkan perbelanjaan berhemah. "Kita mahu pembangunan peduli rakyat, belanja secara berhemah, jadi ini yang kita nyatakan dalam memorandum BBC beberapa perkara untuk diteliti oleh kerajaan negeri supaya belanja pembangunan itu biarlah munasabah dalam keadaan ekonomi semakin meleset. "Kita tidak boleh menyimpan, kita kena berbelanja, itu konsep prinsip ekonomi. "Ia supaya belanja itu boleh menjana pertumbuhan dan aktiviti, bagi saya bajet negeri Selangor harus tumpu ke arah itu," katanya. Sehubungan itu, katanya, beliau menggesa pentadbiran Abdul Khalid mengambil pendekatan secara kolektif dan berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad. "Pentadbiran kerajaan sama ada pusat atau negeri, ia bukan bersifat individu atau pun boleh membuat keputusan secara unilateral. "Pentadbiran sesebuah kerajaan mestilah mengambil sikap keputusan secara jemaah (kolektif), sebab itu kita ada jemaah menteri Kabinet, keputusan yang diambil itu keputusan jemaah," katanya.
|
You are subscribed to email updates from Malaysia Today - Your Source of Independent News To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan