Isnin, 22 April 2013

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Pakatan jangan tiru perangai BN

Posted: 21 Apr 2013 05:58 PM PDT

Pada sebelah malamnya, semasa menyemak Harakah edisi Isnin, fikiran saya lebih terfokus kepada persoalan, sama ada DAP dapat menggunakan simbol roket atau terpaksa berkongsi menggunakan logo  PAS berlambangkan bulan.

Rata-rata kawan-kawan yang menelefon atau mengirim SMS meluahkan rasa seronok dan gembira dengan perkembangan itu. Mereka pastinya sudah muak dan jelak dengan budaya politik adu domba yang menyemai kebencian atau kecurigaan di antara kaum dan agama.

Apatah lagi anak-anak muda yang baru berjinak-jinak dengan siyasah, tentunya mereka lebih sukar menerima politik kebencian seumpama itu. Saya menerima banyak pertanyaan melalui emel dan SMS. Daripada soalan yang dikemukakan, saya yakin mereka suka jika esoknya DAP terpaksa menggunakan lambang bulan. Dan malam Sabtu itu, saya hanya dapat melelapkan mata kurang 45 minit sebelum azan Subuh.

Tentulah lokasi paling dekat dan mudah adalah  Dewan Ahmad Razali, Ampang, hanya kira-kira 2 kilometer dari rumah. Sahabat saya, Khasim Abdul Aziz akan mempertahankan kerusi Dun Lembah Jaya.

Tidak jauh dari situ, pertembungan menarik di Parlimen Pandang, apabila Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, tokoh muda yang berjaya membongkar pelbagai salahguna dan penyelewengan kerajaan BN, dengan bukti dan fakta kukuh, ditentang Gary Lim.

Awal-awal lagi Rafizi telah mendakwa berlaku salahlaku etika dan pelanggaran peraturan guaman oleh Gary Lim, yang menggantikan bekas Presiden MCA, Ong Tee Kiat.

Namun yang lebih dekat di hati saya ialah kawasan Parlimen Titiwangsa, satu-satunya kerusi yang dimenangi PAS di Wilayah Persekutuan pada 2008. Ia bukan hanya difaktorkan oleh kemanisan Parti Islam menang di tengah kotaraya, tetapi ingatan saya yang masih segar kepada lagenda Almarhumah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali. Dr Lo'Lo' sentiasa dikenang sebagai seorang tokoh wanita hebat, berkebolehan, tegas dan berani mempertahankan prinsip.

Saya juga berhasrat untuk menunjukkan sokongan kepada peguam muda, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, 37, Pengarah Jabatan Undangh-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat, yang juga terbabit aktif membela penduduk Kampung Baru, satu usaha mulia yang dirintis Dr Lo'Lo'.

Malah kalau diberi pilihan, saya turut teruja untuk melihat suasana di Lembah Pantai. Nurul Izzah Anwar, yang dilihat penganalisis sebagai pemimpin masa depan, dan mungkin mencatat sejarah sebagai PM wanita pertama di Malaysia, berdepan situasi sukar, terutama selepas terdedah begitu ramai pengundi yang meragukan di "kerusi panas" itu.

Bagaimanapun, tanpa perlu banyak berfikir, naluri saya lebih tergerak untuk ke Presint 9, Putrajaya, walaupun jaraknya paling jauh berbanding kerusi-kerusi yang saya sebut di atas.

Saya sampai agak lewat. Rakan saya terpaksa mencari parkir yang agak jauh. Pusat penamaan calon agak berbukit. Jenuh juga mendaki sambil bertongkat. Untuk kes pilihan raya umum, apatah lagi di kawasan yang tidak pernah terfikir untuk dimenangi PAS, kehadiran boleh disifatkan ramai dan meriah.

Beberapa individu yang menegur saya semasa berjalan perlahan menuju lokasi tumpuan rupanya datang daripada tempat yang lebih jauh daripada saya. Ada daripada Ijok, Gombak, Tanjong Malim dan Sabak Bernam. Masing-masing berwajah ceria, rancak bercerita tentang peluang, sekali gus menitip keyakinan Husam Musa  bakal melakar sejarah tersendiri.

"Warga Putrajaya ramai, lebih kurang 100,000 tetapi yang berdaftar sebagai pengundi di sini, hanya sekitar 16,000. Kalau dibuat referendum atau pungutan suara semua warga Putrajaya, saya yakin majoriti akan memilih Pakatan," kata seorang rakan, juga lulusan Universiti Teknologi Malaysia.

"Kakitangan kerajaan di sini sudah dikepung, susah bagi Husam nak tembusi. Jalan paling baik ialah pendekatan bersemuka," celah saya. "Tapi tuan, tidak mustahil PAS boleh buat kejutan," kata seorang lagi, yang begitu mengambil berat tentang perkembangan kesihatan saya.

"Memang segalanya tiada yang mustahil dalam politik, tapi saya lebih melihat Husam sebagai simbol keberanian baru," pintas saya, sambil menekankan pandangan peribadi yang amat mengharapkan tokoh seperti Husam perlu berada di Parlimen atau berperanan lebih penting di Kelantan.

Saya tertarik dengan mukadimah tulisan Subkyu Abdul Latif sehari selepas itu: "Ketika Pakatan Rakyat sedang mara ke Putrajaya, Husam Musa pergi ke situ dulu seolah-olah dia menunggu dan menyambut ketibaan ekspedisi itu.

"...Tiada siapa berfikir Anwar Ibrahim akan meninggalkan kawasan Permatang Pauhnya dan Ustaz Abdul Hadi Awang akan mengosongkan Marang untuk bertanding di Putrajaya. Lim Kit Siang yang suka mengejutkan berubah tempat bertanding pun tidak akan ke Putrajaya."

Tengahari Sabtu itu, saya meninggalkan Putrajaya dengan penuh kelegaan walaupun saya perhatikan lebih banyak bendera PAS berkibar dari atas kenderaan penyokong yang meningalkan pusat pentadbiran negara itu, dan bukannya dari atas rumah-rumah kediaman di sana!

Namun, belum pun sampai di rumah, saya cukup terganggu apabila dimaklumkan, sekurang-kurangnya tujuh kerusi menyaksikan pertembungan sesama sendiri, antara PAS dan KeADILan. Fikiran saya agak bercelaru selepas mendapat SMS, calon PAS juga bertanding di kerusi Dun Kota Damansara, berdepan penyandang, Dr Nasir Hashim, yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

"Kebingungan" saya sedikit reda apabila seorang teman, bekas Adun Umno yang tidak terpilih semula, menelefon: "Rakan saudara, Hanipa Maidin berpeluang menang di Parlimen Sepang. Dua orang kuat Umno Sepang, AJK bahagian, Hanapiah Mohamad dan bekas Ketua Pemuda Umno negeri, Suhaimi Mohd Ghazali, bertanding menentang Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, Mohd Zin Mohamed."

Rakan saya semasa di kampus dulu, pertengahan 1980-an, Che Johan Che Pa, yang sepatutnya mengemukakan borang calon BN menarik diri untuk memberi laluan kepada "bapanya", Presiden Perkasa, Ibrahim Ali. Dan banyak lagi kisah hampir serupa membabitkan Umno-BN.

Apa pun, saya lebih mengharapkan tempoh sepuluh hari terakhir kempen ini dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku pada Sabtu lalu. Rakyat, khususnya pengundi muda tidak dapat menerima kecelaruan itu, yang memungkinkan mereka membuat kesimpulan mudah: "Pakatan yang nak menang ini pun dah tiru perangai buruk BN." -- (HARAKAH DAILY)

 

Pengurusan tertinggi TV3 akan dipenjara bila Pakatan Rakyat menang

Posted: 21 Apr 2013 05:00 PM PDT

Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim, menjelaskan mengapa tindakannya mahu mengheret pengurusan tertinggi stesen televisyen swasta pertama negara itu ke muka pengadilan dan seterusnya dipenjarakan.

Tegas Anwar dalam ucapannya di hadapan lebih 1,500 orang penduduk dalam satu ceramah di Kampung Batu 9, Changkat Jering, Taiping, Perak petang semalam, fitnah dan tuduhan tidak berasas bukan budaya Pakatan Rakyat dan perkara itu mesti dihentikan.

TV3 merupakan salah satu entiti dalam Kumpulan Media Prima Berhad, yang pemegang saham utamanya merupakan pemimpin Umno atau proksi parti itu dalam kerajaan BN.

Selain stesen televisyen itu, Media Prima turut menguasai dua akhbar utama, New Straits Times dan Berita Harian serta Harian Metro serta beberapa stesen televisyen lain antaranya 8TV dan NTV7.

Tambah Anwar, apabila Pakatan Rakyat berkuasa awal pagi 6 Mei nanti, beliau akan memastikan kesemua pengurusan tertinggi stesen televisyen tersebut bebas dari sebarang pengaruh Umno dan hanya menyiarkan laporan tepat dan benar supaya rakyat boleh menerima maklumat dari kedua-dua belah pihak.

Menurut carian dalam laman web kumpulan itu, antara nama-nama pengurusan kanan yang akan dipenjarakan adalah Pengerusi Media Prima Johan Jaafar, Pengarah Urusan Kumpulan Media, Amrin Awaluddin dan Pengarah Urusan Kumpulan, Rangkaian Media, Media Prima yang juga penasihat media kepada BEKAS perdana menteri, Najib Razak.

Menurut Anwar, jika TV3 dan media kawalan Umno terus menerus memburukkan Pakatan Rakyat, beliau tidak teragak-agak untuk membuat tindakan sedemikian demi menjaga keharmonian dan ketenteraman kaum di negara ini.

Janji Najib untuk menyerahkan kuasa dalam proses peralihan yang selamat dan tiada huru hara masih dipegang Anwar semasa Najib sendiri mengumumkan pembubaran parlimen 3 April lalu.

Anwar percaya TV3 akan terus mengaitkannya dengan pencerobohan di Sabah dalam tempoh berkempen ini bagi memastikan ketakutan diwujudkan di kalangan rakyat seterusnya fitnah paling jahat pernah dilakukan stesen itu selain fitnah liwat pada 1998 dan 2008.

Atas kuasa eksekutif sebagai perdana menteri, Anwar akan mengarahkan harga minyak diturunkan serta-merta sebanyak 40 sen menjadi RM1.50 buat permulaan selain memastikan tiada pemimpin Umno dan BN cuba melarikan diri ke luar negara selepas keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Jaminan Anwar bahawa Pakatan Rakyat akan berbuat demikian kepada pengurusan TV3 serta menurunkan harga minyak supaya nasib rakyat terbela mendapat tepukan gemuruh penduduk yang datang dari sekitar Trong, Simpang dan Changkat Jering sendiri.

 

Bekas MB S’gor, Muhd Taib sah masuk PAS

Posted: 21 Apr 2013 02:49 PM PDT

Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS di sini.Muhammad dalam sidang media berkata, tujuan beliau menyertai PAS dua hari selepas penamaan calon kerana mahu mengelakkan daripada timbulnya spekulasi beliau mahu bertanding semula kerusi pilihan raya umum (PRU).

"Saya bersetuju (serah borang) diadakan dua hari selepas penamaan calon bagi mengelakkan tohmahan nak jadi calon.

"Saya tak berhajat sama sekali nak jadi calon dan tak berhajat nak pegang apa-apa jawatan, saya cuma nak beri sokongan kepada PAS," katanya.yang turut dikenali sebagai Mat Taib dan Mike Tyson.

Muhammad berkata, hasrat untuk menyertai PAS timbul sejak tahun lalu apabila melihat hanya parti itu sahaja yang mampu membangunkan negara berteraskan agama Islam.

"Memang benar negara (Malaysia) maju, memang benar negeri (Selangor) maju tapi saya fikir sekarang sampai masanya satu perubahan mesti dilakukan supaya setiap pembangunan yang dinamik mesti ada roh," katanya.

READ MORE HERE

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved