Sabtu, 2 Mac 2013

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Lahad Datu: Kenyataan Tian Chua diselar

Posted: 01 Mar 2013 02:14 PM PST

Mereka berkata kenyataan Tian Chua (kiri) itu tidak bertanggungjawab dan keterlaluan memandangkan tindakan pihak berkuasa terhadap kumpulan bersenjata dari selatan Filipina itu bersabit soal keselamatan dan keamanan negara.

Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata kenyataan Tian Chua itu adalah skrip standard dari DAP yang langsung tidak peka dan tidak sensitif kepada isu keselamatan negara.

"Dengan membuat kenyataan seumpama ini, dia boleh dianggap sebagai manusia yang mempunyai martabat paling rendah. Ini adalah satu kenyataan melulu yang tidak kita harapkan daripada seorang manusia yang sopan.

"Apa yang boleh kita harapkan daripada dia apabila kita betul-betul berada dalam peperangan jika dia boleh mengeluarkan kenyataan seumpama itu terhadap insiden pencerobohan di Lahad Datu," katanya kepada Bernama apabila dihubungi.

Antara lain, laporan yang tersiar di laman berita rasmi PKR itu memetik Tian Chua sebagai berkata pencerobohan di Lahad Datu itu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

"Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing," kata anggota Parlimen Batu itu.

Justeru, Tunku Abdul Aziz mahu rakyat menilai peribadi Tian Chua dan berfikir sebelum memilih pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina.

Kejadian itu turut menyaksikan 12 penceroboh bersenjata yang merupakan sebahagian daripada 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung pasukan keselamatan Malaysia, terkorban.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyifatkan kenyataan Tian Chua itu sebagai "jahat dan jahil" .

"Umno tidak akan mempermainkan soal keselamatan negara dan tidak mungkin menjadi pengkhianat kepada negara tercinta yang Umno telah berjuang untuk memerdekakan.

"Umno bukan macam pembangkang dalam beberapa peristiwa yang lepas telah mengkhianati negara ini," katanya.

Nada sama dilontarkan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang menggelar Tian Chua sebagai "pembawa cerita bohong bersiri" yang sentiasa mencari kesalahan Umno dan kerajaan walaupun dalam situasi genting.

"Dia adalah ekstremis dan saya tidak terkejut dengan kenyataannya itu. Memang tugas dia memburukkan Umno tanpa bukti, tapi secara spontan… Ini membabitkan isu keselamatan, dan bukan (masa untuk) political mileage," tegasnya.

Bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani pula berkata seharusnya semua pihak ketika ini bersatu dan tidak mencampur aduk politik dengan soal keselamatan negara.

Tegasnya, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap Tian Chua dan mana-mana pihak yang dilihat menghasut rakyat supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

 

Selamat jalan, Najib

Posted: 01 Mar 2013 01:31 PM PST

Sebenarnya, pada 22 Februari 2013, saya menyatakan menerusi ruangan status Facebook, "Tak kisahlah bila tarikh PRU-13". Hal ini kerana Najib masih menangguhkan penetapan tarikh pembubaran Parlimen – selepas mendapat perkenan Agong, tentunya.

Untuk rekod, PRU-12 diadakan pada 8 Mac 2008. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, PRU seterusnya perlu diputuskan selewat-lewatnya pada Mac 2013. Kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Dengan adanya media sosial dan media alternatif yang melaporkan berita-berita yang "terlupa" dilaporkan media arus perdana, maka orang ramai sudah sedia maklum bahawa Parlimen akan terbubar secara automatik pada 28 April 2013 jika Najib masih berlengah-lengah dan menunggu para pengundi "kenyang" dengan transformasi yang dilakukan BN sebelum keluar mengundi.

Sebenarnya, seperti yang saya catatkan di blog (30 April 2010), saya sebagai rakyat (baca: The Third Force) amat meluat membaca berita di mana politikus ini dan politikus itu meminta jentera pilihan raya parti yang diwakilinya bersiap sedia sejak Februari 2010 bagi menghadapi PRU-13.

Akan tetapi, walaupun sibuk berkempen sebaik selepas mendapat "sedekah" undi daripada rakyat pada PRU-12, golongan politikus terbabit ternyata masih belum cukup "jantan" untuk menghadapi PRU-13 yang bersih, adil, telus dan penuh integriti.

Pada masa sama, agak melucukan apabila ada golongan politikus yang sejak September 2012 terlupa bahawa mereka yang memegang kuasa pemerintahan dalam kerajaan sebenarnya diundi oleh rakyat. Apabila mereka diberi kuasa oleh Rakyat, tidak bermakna kuasa itu – dan Putrajaya – menjadi milik mutlak politikus terbabit.

Saya tidak dapat membayangkan barisan menteri macam mana yang akan dilantik Perdana Menteri (menggunakan kuasa mutlak yang ada padanya) selepas PRU-13. Pada 18 Februari 2013, kes mahkamah berhubung penulis yang dinafikan hak royalti teks Komsas ditangguhkan ke April 2013 kerana tandatangan pada dokumen terbabit (palsu?) perlu dihantar ke Jabatan Kimia.

Sebagai pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya dan wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang terlibat cuba membantu mangsa terbabit sejak Ogos 2011, saya berharap individu yang memegang jawatan Menteri Pelajaran selepas PRU-13 akan tahu menggunakan kuasa untuk membela nasib penulis. Kalau tidak mampu, elok jangan pegang jawatan.

Sementara Najib masih seronok bermain teka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen – yang bakal membuka laluan ke arah penetapan tarikh PRU-13 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – sekumpulan rakyat yang memenuhi syarat tertentu serta mengisi slip tertentu menerima BR1M 2.0 baru-baru ini.

Jangan pula ada mana-mana penerima beranggapan mereka wajib mengundi parti politik tertentu selepas menerima BR1M 2.0 kerana tindakan itu akan menjadikan "niat murni" kerajaan memberi bantuan ikhlas menjadi seolah-olah "rasuah pancing undi". Sia-sia pula Kerajaan BN terpaksa menanggung dosa akibat kekhilafan masyarakat!

Buku terbit pada 8 Mac 2013

Bulan lalu turut disemarakkan oleh tulisan Ridhuan Tee Abdullah bertajuk "Kesabaran umat Islam ada had" (Sinar Harian, 18 Februari 2013) sehingga mengatasi populariti Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary dan kehebatan Najib bermain gendang Cina dalam iklan Tahun Baru Cina.

Sehubung itu, Pengarah Strategi MIC, Vell Paari bersuara lantang mengatakan bahawa jika tiada tindakan diambil ke atas Ridhuan Tee dan Ibrahim Ali (Perkasa), maka anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu itu akan menggerakkan kempen meminta kaum India tidak mengundi calon BN pada PRU-13, seperti turut dilaporkan di Free Malaysia Today (22 Februari 2013).

Saya terus teringat bagaimana dalam novel Atlas Shrugged (1957) timbul pertanyaan berulang "Who is John Galt?" dan saya pula percaya bahawa di negara kita, ramai yang akan segera tampil menyatakan "I am The Third Force" – sekurang-kurangnya pada ruangan status di Facebook.

Dua hari kemudian, pada 24 Februari 2013, keluar pula berita (yang sedikit pun tidak menghairankan) bahawa Najib dilantik ke jawatan Pengarah Pilihan Raya BN di Selangor. Selepas mukanya menghiasi tembok serata negeri – khususnya di Stesen Komuter – tentulah beliau mungkin dianggap bermuka tembok pada erti kata sebenar jika tidak dilantik (melantik diri?) ke jawatan itu.

"Terdapat terlalu banyak masalah di Selangor sekarang kerana parti politik yang menguasai kerajaan negeri tidak sama dengan parti politik yang menangani kerajaan persekutuan." Demikian terjemahan kata-kata Najib yang saya baca di akhbar theSun (25 Februari 2013). Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa tidak salah untuk para pengundi mengubah kerajaan pusat supaya sama dengan kerajaan negeri di Selangor kerana itu adalah permintaan Najib sendiri!

Akhbar Utusan Malaysia (25 Februari 2013) melaporkan bahawa Najib "mengambil masa untuk mengumumkan tarikh PRU-13" (walaupun itu sebenarnya kuasa SPR, bukan kuasa Perdana Menteri!) kerana "mahu memastikan setiap dasar transformasi kerajaan benar-benar diyakini rakyat dan berjaya serta bersifat inklusif."

Terjemahan: Najib tidak bersedia untuk mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen sampai bila-bila!

Selepas membaca berita yang "menghiburkan" itu, saya menulis pada ruangan status Facebook: "Baiklah, saya akan umumkan tarikh pemasaran buku Kisah dari Siru Kambam sebelum Pengerusi BN umumkan tarikh Parlimen dibubar. Janji Ditepati."

Maka, sukacita diumumkan bahawa kumpulan cerpen berkenaan boleh dibeli terus daripada saya mulai 8 Mac 2013 – sempena lima tahun sejak tarikh PRU-12 dan "tsunami politik" yang membuktikan kuasa Rakyat dalam menentukan masa depan negara.

Secara kebetulan, cerpen-cerpen seperti "Nating", "Saya Sebatang Pensel", "PRU-O" dan "Datuk Datang ke Kampung Kami" secara khusus mengutarakan kisah-kisah politik dan politikus berlatarkan sebuah kampung kecil bernama Siru Kambam.

Allahyarham Dr Othman Puteh merangkumkan Siru Kambam yang menjadi latar bagi kebanyakan cerpen saya sebagai "suatu daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungannya dengan masyarakat majmuk" (Siru Kambam, 1996).

Sama ada disedari atau tidak – dirancang atau tidak – kumpulan cerpen setebal lebih 350 halaman itu sesuai dibaca dan dihayati dalam suasana sosio-politik semasa sebagai persiapan mental menjelang PRU-13. Misalnya, ditampilkan Pertubuhan Politik India (PPI) yang kononnya mahu menjadi wakil tunggal suara kaum India dalam kerajaan.

READ MORE HERE

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved