Ahad, 28 Oktober 2012

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Orang muda muflis di kalangan Melayu paling tinggi

Posted: 27 Oct 2012 05:14 PM PDT

Setiausaha kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu dipetik berkata dalam akhbar Berita Harian, hampir 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baru pada suku tahun ini yang direkodkan di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) adalah Melayu. 

"Aliran ini serius dan membimbangkan," kata Syed Nadzim. 

Manakala kaum Cina pula mencatatkan kedudukan kedua tertinggi sebanyak 34 peratus, kaum India 9 peratus dan lain-lain kaum adalah 10 peratus. 

"Sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung masalah ini. Malah PPIM juga mahu Akta Kebangkrapan 1967 dan Kaedah Kebangkrapan 1969 dipinda kerana sudah lapuk dan tidak sesuai," tambah beliau lagi. 

Berdasarkan statistik daripada MdI bermula daripada 2007, jumlah kes kebangkrapan yang dicatat ialah 13,238 disusuli peningkatan pada 2008 kepada 13,855 dan terus meningkat pada 2011 kepada 19,167. 

Selain itu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh MdI sebagai punca kepada pengisytiharan muflis ini sejak 2005 hingga Jun 2012 adalah disebabkan beberapa sebab, antaranya ialah sewa beli kenderaan sebanyak 25 peratus, keberhutangan lain sebanyak 21 peratus, pinjaman peribadi 13 peratus dan pinjaman perumahan 13 peratus serta lain-lain. 

Disamping itu, negeri yang paling mencatatkan banyak kes muflis sepert yang direkodkan MdI adalah Selangor dengan jumlah 1,053 kes atau 23.05 peratus daripada 4,568 kes keseluruhan suku tahun ini. 

"Statistik Jabatan Perangkaan yang kami peroleh menunjukkan nisbah muflis dengan penduduk di Selangor ialah 1:581, bermaksud seorang bagi setiap 581 penduduk di negeri itu diisytiharkan muflis," tambah beliau lagi.

 

Mampukah kematangan berpolitik dicapai di negara kita?

Posted: 27 Oct 2012 04:38 PM PDT

Apa tidaknya, arena politik negara masih dipenuhi dengan pelbagai perwatakan pemimpin politik yang beraneka ragam.

Saban hari, ada sahaja kenyataan mahupun tindak-tanduk mereka yang mencuri tumpuan. Sama ada tindakan itu dilakukan secara tidak sengaja atau sebaliknya, mereka lebih mengetahui.

Hakikatnya, memang ada pemimpin politik yang boleh berfikir dan menonjolkan diri sebagai politikus yang berkaliber lagi dihormati. Akan tetapi, ada juga yang memperbodohkan diri sendiri dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak logik.

Jika dibilang dengan jari, boleh dikatakan ramai yang tergolong dalam kategori kedua.  Tetapi adalah tidak adil untuk melabelkan semua politikus adalah tidak baik kerana sebarang usaha sedemikian hanya bermakna penulis bersifat prejudis.

Namun realiti sebenar tidak dapat disangkal lagi. Pengalaman penulis membuat liputan di beberapa Perhimpunan Agung parti-parti politik seperti UMNO, Pas dan MCA membuktikan apa yang diperkatakan sebentar tadi mengenai pemimpin politik ada asasnya.

Boleh dikatakan bahawa perhimpunan agung tahunan parti merupakan medan terbaik untuk membelasah pihak musuh. Dalam konteks ini, semua perbahasan mahupun ucapan dasar pemimpin akan berkisar kepada memburuk-burukkan musuh.

Segala kehodohan dan kejahatan pihak musuh akan ditelanjangkan secara terbuka seolah-olah musuh mereka sudah tidak mempunyai nilai dan harga diri.  Retorik menguasai segala-galanya!

Tidak kira sama ada amalan sedemikian dipraktikkan oleh pembangkang ataupun parti pemerintah, jelas budaya ini tidak sepatutnya mendapat tempat dalam masyarakat. Agak menghairankan, pemimpin-pemimpin politik di Amerika dan Eropah boleh  mengenepikan sentimen kepartian dalam isu-isu membabitkan kepentingan nasional. Tetapi tidak di Malaysia. Mengapa?

Apakah ego begitu penting untuk mereka? Apakah dengan tiadanya sentimen kepartian akan membuatkan mereka kurang baik atau bersikap seperti pembangkang?

Apakah yang cuba disampaikan oleh pemimpin politik kepada rakyat? Adakah budaya hasutan dan kebencian yang ingin disemai dalam minda rakyat? Tidak sedarkah mereka bahawa segala tindak-tanduknya sedang diperhatikan oleh rakyat?

Barangkali segelintir pemimpin politik kita alpa bahawa melalui kuasa dan undi rakyatlah, mereka dapat berada di puncak kekuasaan. Rakyat adalah kingmaker kerana dengan satu undi sekalipun, ia cukup signifikan.

Sudah sampai masanya pemimpin politik di Malaysia merenung sejenak tingkah laku dan perwatakan mereka.  Bermuhasabah diri dan bertanyakan kepada diri apakah kekurangan dan penambahbaikan yang harus diperbaiki selepas ini.

Dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 makin hampir, inilah masanya untuk pemimpin politik menguatkan azam untuk berkempen secara matang. Gunakan kempen pilihan raya untuk menjelaskan dasar-dasar kepada rakyat dan bagaimana rakyat boleh mengambil bahagian dalam menjayakan agenda pembangunan negara.

Juga, manfaatkan kempen sedia ada itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Inilah yang didahagakan oleh rakyat jelata. Rakyat jelata sudah bosan dengan politik kepartian yang keterlaluan.

Bersediakah pemimpin-pemimpin politik negara kita untuk berubah? Ataupun terus menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa? Pilihan terletak di tangan mereka.

 

Abim bantah TV3 tayang ‘My Name Is Khan’

Posted: 27 Oct 2012 03:55 PM PDT

Naib Presiden Abim, Ahmad Saparudin Yusup berkata, filem yang membawa mesej yang mengelirukan jelas tidak wajar ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau mengenai perkara itu.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah sekeras-kerasnya penayangan filem 'My Name Is Khan' di TV3 pada Hari Raya Aidil Adha yang kedua. Filem yang membawa mesej yang mengelirukan jelas tidak wajar ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia.

Watak utamanya dibawa oleh Shah Rukh Khan (Datuk) jelas menjengkelkan. Aksi beliau dalam cerita itu membayangkan tahap kefahaman pengarah, penulis skrip, dan pelakon mengenai Islam begitu memalukan.

Sebagai contoh, adegan hero yang berkahwin dengan heroin (dalam filem ini) yang beragama Hindu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampur aduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam.

Selain dari itu memberi zakat kepada mereka yang tidak beragama Islam juga adalah mengelirukan. Zakat hanya dibenarkan untuk asnaf yang tertentu dan tidak boleh diberikan sesuka hati.

Penerbit filem ini jelas cuba menjawab persoalan 'Islamophobia' yang melanda Barat, tanpa memahami ajaran Islam dengan mendalam serta menghayati pokok pangkal permasalahan ini mengheret wajah Islam ke dalam kancah yang memalukan. Ia secara jelas membawa mesej 'Islam Liberal'.

Faham Islam Liberal ini pekat dengan rasa apologetik dan menenggelamkan sumber asas dan mengenepikan pandangan ulama muktabar. Begitu juga dengan nilai yang cuba disejajarkan dengan selera Barat yang menyisih intipati ajaran Islam itu sendiri.

Selain dari faham Islam Liberal itu, menyamakan kebaikan di sisi Islam dan agama lain adalah satu daripada teras aliran 'pluralisme agama'. Mesej ini juga terkandung dalam filem ini.

Segala faham ini perlu diperhatikan secara dekat kerana ia boleh memesongkan fikiran umat Islam dan juga bukan islam dalam memahami ajaran Islam yang sewajarnya.

Faktor penayangan yang dibuat tatkala umat Islam menyambut hari Idil Adha juga menimbulkan persoalan ke mana hilangnya keprihatinan dan tanggungjawab pihak media dalam bahan siaran mereka.

Oleh itu Abim mendesak agar penayangan filem ini dihentikan pada masa akan datang. Abim juga mengingatkan kepada stesyen penyiaran di negara ini agar lebih peka dan sensetif terhadap bahan kandungan dan masa penyiaran bagi mengelakkan kontroversi di dalam masyarakat. Abim juga menggesa agar pengedaran CD filem ini dihalang serta merta.

 

Sabotaj bukan 'budaya eksklusif' Umno semata-mata

Posted: 25 Oct 2012 03:00 PM PDT

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan, ini bukan lagi masanya untuk main-main atau merajuk apabila tidak dipilih sebagai calon dan melakukan onar dalam parti kerana pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang paling kritikal.

"Kita kena melihat kepada pengalaman-pengalaman yang lepas. Ini peringatan kepada pemimpin atau pihak-pihak tertentu bahawa dalam Umno ini, kita tidak boleh ambil risiko, kita tidak boleh main-main.

"Kadang-kadang orang berfikir mahu jadi wakil rakyat dan bukan sekadar ahli hanya untuk berkhidmat kepada rakyat tapi hakikatnya banyak cara untuk kita berkhidmat," kata Setiausaha BN Sabah ini kepada  Sinar Harian Online.

Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presidennya mengumumkan bahawa jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin Umno.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu mengikut Fasal 10 (15) Perlembagaan Umno yang dianggotai oleh ahli Majlis Tertinggi dan beberapa individu yang tiada kepentingan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman, yang juga Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasiona (BN-BBC) mengakui, perbuatan sabotaj ini memang berlaku, namun ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa dalam sesebuah parti politik.

"(Sabotaj) ini bukan terhad dalam Umno sahaja. Tetapi dalam semua parti politik tetapi Umno sebuah parti yang proaktif menubuhkan jawatankuasa ini dalam menghadapi pilihan raya yang dikatakan sengit ini," katanya lagi.

Ahli Parlimen veteran Umno-BN, Datuk Mohamad Aziz yang bersetuju seratus peratus dengan penubuhan jawatankuasa itu berkata, penubuhan panel khas ini penting kerana parti berhadapan dengan ramai ahli yang pelbagai kerenah.

Wakil rakyat dari Sri Gading ini menambah, Najib tentunya melihat kepada pengalaman 2008 yang menyaksikan kekalahan teruk Umno-BN disebabkan oleh faktor sabotaj di kalangan ahli parti itu yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon.

"Apa makna masuk parti jadi ahli, kemudian sabotaj? Umno sebuah parti yang membela nasib agama, bangsa dan negara. Sabotaj parti bermakna sabotaj agama, bangsa dan negara.

"Kita kalah 2008. Tapi Umno bukan kalah disebabkan pembangkang kuat tetapi sebab ada ahli parti yang main tikam belakang," katanya.

Beliau menambah, penubuhan jawatankuasa ini juga secara tidak langsung mengembirakan ramai ahli Umno yang setia dengan perjuangan parti.

"Apabila nampak sabotaj dalam parti, orang yang setia ini akan merasa kecewa. Tetapi dengan tertubuhnya jawatankuasa ini, orang yang setia dengan parti akan rasa dihargai.

"Saya sokong seratus peratus penubuhan jawatankuasa ini," tambah beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian juga mengetengahkan pandangan yang seiring dengan dua pemimpin itu.

Penubuhan jawatankuasa ini sebagai pemberitahuan kepada mereka yang berhasrat untuk melakukan perbuatan tidak bermoral semata-mata untuk mendapat kedudukan selesa dalam parti bahawa pergerakan mereka sedang diperhatikan, katanya lagi,

Malah tambah beliau, mereka yang berebut-rebut mahu menjadi calon misalnya belum tentu punya kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Ini lebih kepada sikap. Mereka ini orang yang tidak ada jati diri, mengikut nafsu.

"Sekarang ini sudah tidak boleh seperti dulu. Sistem yang dibawakan oleh Datuk Seri Najib ini lain. Apa tujuan jadi ahli parti? Mereka ini orang yang tidak setia kepada perjuangan parti," katanya kepada Sinar Harian Online.

Aziz secara sinis mengingatkan mereka yang terfikir untuk khianat dan sabotaj ini adalah ahli parti yang tidak setia dan hanya mengejar keuntungan peribadi.

"Tanggungjawab kita sebagai ahli parti, itu yang penting. Jangan hendak berebut jadi Ketua Cawangan tapi tidak ada rasa tanggungjawab. Bertahun Datuk Seri Najib buat kerja, kalau kita sabotaj, adakah kita boleh buat kerja? Ini bukan perjuangan, ini gila kuasa namanya," ujar beliau.

Ketika mengumumkan perkara itu minggu lau, Najib yang juga Pengerusi BN dan Perdana Menteri berkata, penubuhan jawatankuasa ini bertujuan bagi memudahkan tindakan segera di ambil ke atas ahli parti itu yang mengkhianati parti dan calon BN.

Sebelum ini, setiap kesalahan yang dilakukan oleh ahli parti diserahkan kepada Lembaga Disiplin dan ia mengambil masa sebelum tindakan diambil. Majlis Tertinggi Umno juga telah memutuskan untuk melantik salah seorang daripada setiap bahagian Umno di seluruh negara sebagai anggota jawatankuasa itu.

Ini kali pertama Umno mengambil tindakan tegas ini. Tindakan akan diambil sebelum PRu13 berbanding dulu selepas pilihan raya selesai.

Pengalaman 2008 membawa Umno ke tahap lebih berhati-hati meskipun sesetengah pihak melihat parti ini sudah panik. Sebagaimana dikatakan Abdul Rahman, sabotaj tidak terhad kepada Umno sahaja. Ia jelas kerana Umno bertindak sebagai parti besar dengan tiga juga ahli.

 

Harun Taib: Ulama Pas bukan 'Ayatollah Iran'

Posted: 25 Oct 2012 02:57 PM PDT

"Sejarah Islam membuktikan betapa telusnya corak pemerintahan Islam itu sendiri apabila dikurniakan oleh ALLAH SWT akan tampuk pemerintahan," kata Ketua Ulama Pas, Datuk Harun Taib.

Tambah beliau: "Rasulullah SAW sendiri tidak memulakan peperangan Badar kecuali setelah mengadakan perbincangan dengan kaum Ansar, inilah pendekatan Pas yang menjadi pegangan kita selama ini."

Dipetik Harakahdaily, Harun berkata, sudah menjadi tradisi pemerintahan Islam bersikap telus ketika memerintah.

Jelasnya, Saidina Abu Bakar ketika mula dilantik sebagai khalifah telah mengisytiharkan bahawa beliau sanggup diperbetulkan sekiranya melakukan kesalahan.

Begitu juga Saidina Umar yang mengisytiharkan perkara yang sama sehingga rakyat menyambutnya dengan keazaman untuk memperbetulkan beliau walaupun dengan mata pedang, kata beliau.

Ulas beliau lagi, pernah berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar dalam peristiwa memerangi golongan yang murtad.

"Walaupun terdapat perbezaan pandangan pada peringkat permulaan tetapi kerana keterbukaan yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar dalam perbincangan antara hujah-hujah yang berbeza, maka para sahabat akur.

"Inilah keterbukaan yang ditunjukkan oleh sejarah berkenaan pemerintahan Islam. Dan keterbukaan penghujahan inilah yang akan terus diperjuangkan oleh para Ulama Pas.

"Begitu juga pada zaman Saidina Umar ketika seorang wanita menegur beliau berkenaan dengan mahar, beliau tidak melenting bahkan mengakui tentang kesilapan beliau dan mengiktiraf pendirian wanita tersebut," jelas beliau.

Laporan organ Pas itu tidak merujuk khusus kepada Asri.

Ketika muncul pada program Wacana Sinar Harian ke-15 Selasa lalu, Asri berkata, Pas tidak seharusnya menjadi seperti pemerintahan Ayatollah di Iran sekiranya berjaya memerintah Putrajaya kelak.

Asri, bekas Mufti Perlis berkata, kalau ada yang bermentaliti bahawa orang agama yang berkuasa tidak boleh ditegur, negara akan menjadi lebih korup dari sekarang.

"Saya rasa ini satu masalah dalam Pas, masalah sekarang ini Pas belum menjadi pemerintah, tetapi kalau kita tidak bahas hari ini, kita akan jadi seperti Iran, yang mana pemimpinnya Ayatollah tidak boleh ditegur dan disentuh.

"Kalau kita tidak hati-hati terutamanya parti politik termasuk Pas... kalau mereka naik (menjadi pemerintah) dengan mentaliti orang agama tidak boleh disentuh, ditambah dengan isu pemimpin dan tokoh agama itu ada kuasa pula, kita akan menghadapi negara yang lebih  korup daripada apa yang berlaku sekarang," katanya ketika menjawab soalan dari moderator Dr Mazlee Malik berhubung sejauh  mana beliau melihat pemimpin ulama Pas yang tidak boleh ditegur.

Menjawab pandangan Asri itu, dua Naib Presiden Pas kelmarin menjawab bahawa pihaknya memberi jaminan tidak akan sama sekali akan menjadi pemimpin-pemimpin bergelaran Ayatollah Iran jika diberi mandat memerintah Kerajaan Pusat kelak kerana parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Sambil menghargai pandangan bekas Mufti Perlis, pemimpin-pemimpin Pas yang dihubungi Sinar Harian Online berkata parti berusia lebih enam dekad itu tidak pernah mengamalkan pendekatan tutup pintu kepada pandangan dan teguran mana-mana pihak.

Ayatollah adalah gelaran tertinggi diberikan kepada ulama Syiah Iran.

Mengulas teguran Asri itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiranya diberi mandat memerintah Putrajaya kelak, mereka tidak akan sekali-kali menjadi seperti pimpinan Ayatollah.

Katanya, sedia ditegur dan dikritik akan terus menjadi asas perjuangan parti itu.

Mengulas lanjut, Harun yang juga Adun Manir menyangkal sama sekali kebimbangan yang tidak berasas bahawa Pas akan mengikut pendekatan Ayatollah.

Beliau menyifatkan kebimbangan itu seperti Nujum Pak Belalang yang meramalkan sesuatu tanpa bukti.

"Kalau perkara yang ditegur atau dikritik itu betul, Pas tidak teragak-agak untuk menerimanya dengan jiwa yang terbuka dan Pas telah membuktikannya, sejarah telah membuktikan bahawa Pas telah sanggup bermuzakarah dengan Umno dan sejarah telah membuktikannya," katanya lagi.

Beliau berkata, bermuzakarah dan perbincangan merupakan tradisi yang telah diamalkan oleh Pas sejak dari penubuhannya lagi bukan sahaja dari sudut dalaman parti apatah lagi dengan pihak luar yang tidak sealiran dengannya.

 

MCA-DAP bawa ‘agenda besar’, dakwa Hasan Ali

Posted: 24 Oct 2012 04:10 PM PDT

Secara tidak langsung kata beliau, ia mampu menarik sokongan masyarakat Cina kepada MCA dan DAP disebabkan pandangan dan kritikan yang dilontarkan pimpinan mereka selari dengan kehendak, kemahuan dan tuntutan masyarakat berketurunan Cina.

Hasan melahirkan pandangan ini ketika banyak pihak mempersoalkan Soi Lek dan juga Umno berhubung kenyataan Presiden MCA itu.

"Hati kecil saya terus membisikkan bahawa terdapat semacam wujudnya persefahaman di antara MCA dan DAP khususnya untuk menghadapi PRU ke-13.

"Hati kecil saya juga membisikkan bahawa masyarakat Cina seolah-olah mempunyai satu 'grand design' merentasi fahaman dan aliran politik," kata beliau yang juga bekas Exco Selangor dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook lewat malam ini.

Hasan selepas dipecat oleh Pas awal Januari lalu menubuhkan pertubuhan yang diberi nama Jati.

Sambil menyifatkan inti "agenda besar" DAP itu bukan satu rahsia lagi, jelas Hasan, tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menetang pelaksanaan Islam dan hudud di Malaysia baru-baru ini mencerminkan dua parti yang punyai fahaman dan aliran politik yang berbeza secara luaran hanya sekadar "pementasan lakonan politik" semata-mata.

"Dalam episod terbaru ini, Presiden MCA Dr Chua Soi Lek dengan secara tiba-tiba menjadi orang pertama yang menekan butang jentera menentang pelaksanaan Islam dan Hudud di negara ini.

"Ia dilakukan bagi menentukan DAP menjadi wakil mutlak masyarakat Cina dalam memperjuangkan tuntutan-tuntutan yang sekian lama dibuat oleh masyarakat keturunan Cina," katanya.

 

MB Kedah dedah penyelewengan projek BN

Posted: 24 Oct 2012 04:04 PM PDT

Beliau yang sebelum ini mengambil sikap berdiam diri, kini tampil mendedahkan empat projek bawah kerajaan BN yang gagal sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri menanggung beban hutang yang banyak.

"Saya dan pegawai Kerajaan Negeri asyik diserang konon seleweng projek, kali ini saya dedahkan empat projek besar yang ada kaitan dengan penyelewengan kerajaan terdahulu. Adakah kali ini mereka akan nafi? Saya sudah letih tanggung beban (hutang) atas kesilapan kerajaan BN sebelum ini," katanya.

Menurutnya, projek yang dimaksudkan itu ialah projek 99 East Langkawi, ternakan udang di Kerpan, Yayasan Islam Negeri Kedah dan Projek Jerai Internasional Park.

Azizan berkata, projek 99 East Langkawi bermula sejak 2007 dengan "joint venture agreement" dan "shareholders agreement" ditandatangani antara Kedah Corporation Berhad (KCB) dengan Terra Monda Development Pte Ltd pada Februari 2007, bagi membangunkan Bukit Malut membabitkan 144 hektar tanah Permodalan Kedah Berhad (PKB).

"Komposisi pegangan dalam usahasama ini adalah 80-20 peratus dengan Terra Monda (51 peratus dimiliki pelabur Swiss) dan 20 peratus KCB untuk membentuk syarikat yang dinamakan 99 East Langkawi Sdn Bhd.

"Melalui perjanjian itu, KCB perlu sediakan tanah dan seterusnya pindahkan tanah itu kepada 99 East Langkawi Sdn Bhd dan Terra Monda selaku pelabur akan biayai kos dan pelaksanaan pembangunan," katanya.

Bagaimana pun, terma perjanjian itu didapati berat sebelah dengan nisbah keuntungan tidak seimbang, tambahan pula KCB menjanjikan tanah yang bukan miliknya.

"Pengurusan Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) enggan memberi Power of Attorney kepada 99 East Langkawi demi untuk menjaga kepentingan Kerajaan Negeri. Itu kesilapan besar kerajaan BN sebab janji nak bagi tanah bukan miliknya, sebab itu kita tidak benar penyerahan tanah itu," katanya.

Azizan berkata, projek ini ada kaitan dengan orang kanan politik BN ketika memegang jawatan Pengerusi KCB ketika Kedah diterajui Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Sebahagian wang sudah dibayar kepada pengurusan dahulu, dan setelah dinilai semula ia tidak rasional untuk diteruskan. Kita sedang berunding dengan Terra Monda dari semasa ke semasa bagi menamatkan perjanjian secara amicable," katanya.

Projek ternakan udang di Kerpan juga menemui kegagalan, di mana perjanjian pengurusan projek pada Disember 2007 dibuat antara Kedah Agro Industries Marketing Bhd (KAIMB) dan Kedah Aquaculture Sdn Bhd (KASB - 2012 diambil alih oleh SKS Reality Sdn Bhd ).

"Pada Jun 2012, KASB menang saman RM2.16 juta ke atas KAIMB, babitkan kos dan keuntungan bersih KASB layak terima daripada jumlah hasil jualan udang RM6 juta (2007), tetapi tidak dimasukkan dalam akaun projek itu," katanya.

Azizan mempersoal ke mana hilangnya keuntungan terbabit yang sepatutnya diagihkan 60-40 peratus tetapi Kerajaan Negeri tidak pernah menerima duit itu.

"Keuntungan 40 peratus itu kita tak pernah terima, ini suatu penyelewengan. Sekarang Kementerian Kewangan mahu saman RM2 juta sebab agihan tidak dibuat, sedangkan kita pun tak terima. Saya harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat kes ini termasuk kerajaan BN terdahulu," katanya.

Menurutnya, pihaknya mahu tahu ke mana hilangnya keuntungan itu di mana syarikat terbabit dikendalikan oleh individu yang rapat dengan bekas Menteri Besar sebelum ini.

"Peguam telah failkan rayuan pada Julai 2012 namun tarikh belum ditetapkan. KAIMB juga belum bayar apa-apa kepada KASB," katanya.

Azizan turut kesal apabila kerajaan PR kini terpaksa membayar hutang RM11 juta kepada syarikat Long Island, ekoran kegagalan usahasama Yayasan Islam Negeri Kedah.

"Saya tidak terlibat dalam usahasama ini, tetapi sebagai Menteri Besar sekarang, saya perlu lunaskan tuntutan sayarikat itu. Kita terpaksa tebang balak untuk bayar hutang kerajaan BN sebelum ini," katanya.

Menurutnya, kes ini membabitkan usahasama dengan syarikat Cayman Development, atas tanah 200 ekar di Tandop untuk bangunkan kawasan industri dan perumahan.

"Cayman gagal laksana dan ketika itu Datuk Seri Syed Razak arahkan projek diserah kepada pemaju lain iaitu Long Island untuk tebus tanah dari bank. Ada 15 lot industri tak terlibat akhirnya dibuat perumahan dan Long Island saman kita sebab tanah itu masih hak dia," katanya.

Azizan berkata, apabila disiasat, pegawai berkenaan mengatakan mereka diarah pemimpin politik ketika itu menyebabkan tanah berkenaan tidak diubah syarat di mana dua geran untuk satu tapak.

Projek lain yang turut menimbulkan keraguan ialah Projek Jerai Internasional Park di Tupah atas tanah 1145 ekar, usahasama antara syarikat dari Qatar dengan PKB.

"Berdasarkan perjanjian 40-60 (PKB/Qatar), tetapi PKB tak lantik perunding untuk tindakan lanjut menyebabkan mereka tuntut RM2.2 juta kerana tidak patuhi perjanjian. Kes ini masih dalam rundingan," katanya.

 

Mufti Perak: Tegur pemimpin jihad paling besar

Posted: 24 Oct 2012 04:00 PM PDT

Beliau berkata, tugas itu wajib kepada semua umat Islam terutama yang mempunyai kelebihan.

"Golongan ulama memang perlu tegur pemimpin, saya juga tegur pemimpin, hampir ke semua Perdana Menteri pernah saya tegur termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas).

"Memetik hadis Nabi, menasihati pemimpin yang zalim adalah jihad yang paling besar.

"Tugas itu perlu dimainkan oleh semua orang tetapi selalunya dilihat sebagai tugas ulama kerana mereka mempunyai kelebihan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, kelebihan itu bukan sahaja daripada ilmu yang dimiliki ulama terbabit tetapi termasuklah peluang yang lebih mudah untuk bertemu dan bercakap dengan pemimpin itu.

Kelmarin, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat boleh menegur pemimpin tetapi perlu secara tertib.

"Kritik kesalahan dan pengurusan itu tapi pilih perkataan yang elok seperti manusia yang bertamadun. Sebut perkataan yang tegas dan bermaksud," katanya pada siri Wacana Sinar Harian ke-15 bertajuk Peranan Ulama Menasihati Pemimpin.

Harrussani berkata, ada orang menggunakan medan syarahan atau media massa menegur pemimpin.

Katanya, teguran yang dibuat perlulah secara beradap dan tidak menyinggung perasaan individu yang ditegur itu.

"Semua orang ada egonya, jadi adalah lebih baik menggunakan cara yang bersesuaian untuk menegur orang itu supaya tidak mengguris hatinya.

"Kalau kita mahu tegur cara tugas mereka, boleh menulis surat untuk menasihatinya dan jika punya kesempatan, bertemu secara terus adalah lebih baik," katanya.

Katanya, mereka yang menegur seseorang itu melalui ucapan dianggap sebagai mengumpat.

"Kita tidak perlu menegur orang itu sehingga memberi aib kepadanya. Gunakan cara yang lebih diplomasi," katanya.

 

'Kami bukan Ayatollah', Pas jawab Dr Asri

Posted: 24 Oct 2012 03:57 PM PDT

Sambil menghargai pandangan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pemimpin-pemimpin Pas yang dihubungi Sinar Harian Online berkata parti berusia lebih enam dekad itu tidak pernah mengamalkan pendekatan tutup pintu kepada pandangan dan teguran mana-mana pihak.

Ayatollah adalah gelaran tertinggi diberikan kepada ulama Syiah Iran.

Mengulas teguran Asri itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiranya diberi mandat memerintah Putrajaya kelak, mereka tidak akan sekali-kali menjadi seperti pimpinan Ayatollah.

Katanya, sedia ditegur dan dikritik akan terus menjadi asas perjuangan parti itu.

"Saya rasa Dr Asri sekadar membuat peringatan yang jujur dan ikhlas, tiada niat lain dan saya hargai peringatan yang diberi itu.

"Jika dilihat sekarang ini pun, media arus perdana hari ini kerap memutar belit fakta yang kami beri, tetapi kami tidak pernah melenting, malah memberi reaksi yang baik dan sentiasa positif," kata beliau.

Kelmarin, Asri, yang dari semasa ke semasa menganalisis perjalanan politik negara, menggesa Pas agar tidak mengamalkan pendekatan politik negara Teluk itu jika berjaya mandat memerintah Putrajaya kelak.

Bagaimanapun beliau tidak memberi contoh khusus yang berkemungkinan Pas akan menjadi sebagai kepimpinan Ayatollah.

Beliau berkata, kalau ada yang bermentaliti bahawa orang agama yang berkuasa tidak boleh ditegur, negara akan menjadi lebih korup dari sekarang.

"Saya rasa ini satu masalah dalam Pas, masalah sekarang ini, Pas belum menjadi pemerintah, tetapi kalau kita tidak bahas hari ini, kita akan jadi seperti Iran, yang mana pemimpinnya Ayatollah tidak boleh ditegur dan disentuh," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tidak perlu melihat terlalu jauh atau melihat corak pemerintahan Pas di masa hadapan, corak pemerintahan Pas sekarang ini pun tidak pernah mengambil sikap 'tutup pintu' jika dikritik mana-mana pihak.

"Kami pun sedia maklum, bukan semua pemimpin Pas mahir dan arif dalam semua perkara, justeru teguran juga penting," katanya.

Beliau juga menambah, jika teguran yang dibuat itu merupakan sesuatu yang baik, mereka sedia menerima walaupun berbeza faham politik.

Seorang lagi Naib Presidennya, Salahuddin Ayub turut sepakat dengan Mahfuz menyatakan parti itu sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kritikan daripada mana-mana pihak.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam Pas, mana-mana ahli bebas memberi pandangan dan teguran masing-masing kerana kami sentiasa berpaksikan semangat demokrasi.

"Jika dalam mesyuarat perwakilan atau mesyuarat bulanan, semua ahli bebas memberi kritikan kepada pemimpin, tiada masalah," katanya.

Beliau juga menambah yang rata-rata keputusan yang dibuat oleh parti itu juga adalah berdasarkan teguran.

"Cara ini kami telah amalkan sejak lama dulu dan setakat ini, kami sentiasa terbuka dan saya rasa tidak mungkin kami akat bersikap seperti Ayatollah jika memerintah Putrajaya kelak," tegas beliau tetapi pada masa yang sama menghargai teguran  Asri semalam terhadap Pas.

Katanya, ia satu peringatan positif.

 

Dr Asri khuatir PAS tadbir negara

Posted: 23 Oct 2012 02:59 PM PDT

Bekas mufti Perlis itu melihat masalah PAS sekarang adalah mereka dipimpin oleh golongan ulama, dan tiada siapa boleh menegur kesalahan yang dilakukan oleh ulama mereka.

"Masalah sekarang, PAS belum jadi pemimpin negara lagi."

"Kalau perkara ini kita tidak bahaskan hari ini, kita akan jadi seperti Iran yang mana Ayatollah tidak boleh disentuh," katanya.

Asri berkata demikian di ketika diminta mengulas senario pimpinan PAS yang terdiri daripada golongan ulama ketika ini.

Menurut Asri, jika Malaysia tidak berhati-hati dengan mana-mana parti termasuk PAS, maka akan berdepan keadaan negara yang lebih korup.

"Kalau dia (Pas) naik (memerintah negara) dengan mentaliti orang agamanya tidak boleh disentuh, ditambah dengan pemimpin yang ada kuasa politik; dan dia tokoh agama pula, kita akan menghadapi keadaan negara yang lebih korup daripada sekarang," katanya.

Perkara ini perlu dihapuskan diperingkat awal sebelum berlaku apa-apa perubahan struktur politik di nagara ini," tambah beliau lagi ketika Wacana Sinar di sini, hari ini.

Sebelum ini Pas telah memecat bekas    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali ekoran mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kepimpinan Pas.

Malah, Adun Gombak Setia itu juga seringkali dibidas oleh pemimpin PR, terutamanya Pas kerana menyatakan parti Islam itu tersasar dari matlamat asal perjuangannya.

Turut menerima nasib sama adalah bekas Timbalan Presiden mereka, Nasharuddin Mat Isa yang mana seringkali mempertikaikan Pas kerana bersekongkol dengan DAP.

Nasha juga dilabel sebagai "barua Umno" kerana seringkali mengeluarkan pendapat dan kenyataan yang seolah-olah menyokong perjuangan parti komponen Melayu dalam Barisan Nasional (BN) itu.

 

‘Hudud tiada kesan kepada bukan Islam’

Posted: 23 Oct 2012 02:43 PM PDT

"Jika undang-undang hudud hendak dilaksanakan di Malaysia, maka undang-undang hudud yang merupakan sebahagian daripada undang-undang Islam berada di bawah kuasa negeri.

"Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang-orang Islam sahaja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mejar Jeneral (B), Datuk Sri Jamil Khir Baharom.

Oleh itu katanya, undang-undang hudud tidak akan memberi kesan terhadap rakyat bukan Islam. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Bebas Tan Tee Beng.

Tan dalam soalannya bertanya kesan pelaksanaan hudud, sekiranya dilaksanakan, terhadap rakyat bukan Islam. Beliau turut bertanya samada Akta Pencegahan Jenayah 1959 akan dipinda dan diselaraskan mengikut undang-undang hudud di dalam pelaksanaan hukuman.

Menurut Jamil Khir, undang-undang hudud akan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam yang terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti dalam Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Berdasarkan Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa jenayah) 1965, bidang kuasa mahkamah syariah terhad kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman -hukuman tersebut," kata Jamil Khir.

Beliau turut menolak sebarang perkaitan Akta Pencegahan Jenayah 1959 dengan undang-undang hudud.

"Justeru itu kerajaan tidak merancang untuk meminda akta ini," katanya.

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved