Isnin, 3 September 2012

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Kehadiran Anwar: Sultan S’gor tidak gembira

Posted: 02 Sep 2012 04:43 PM PDT

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata Tuanku Sultan malahan tertanya-tanya mengapa Anwar dijemput ke majlis itu sehingga diberi slot untuk memberikan ucapan pada malam tersebut.

"Atas dasar dan kapasiti apa dia dijemput? Beliau memenangi (kerusi) di Penang. Beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Selangor. Sultan tidak gembira mengenainya.

"Sultan tertanya-tanya mengapa Anwar dijemput dan diberi slot untuk memberi ucapan," kata Mohamad Munir.

Beliau turut menjawab dakwaan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Tuanku Sultan tidak perlu menyatakan hasrat menghadiri sambutan Hari Merdeka kerana kedudukan Baginda berada di atas pentadbiran negeri.

"Baginda (Sultan) berada di atas pentadbiran negeri. Baginda tidak akan berkata bahawa Baginda mahu pergi jika tidak dijemput," jelas beliau.

Faekah dalam satu kenyataannya semalam berkata adalah menjadi tanggungjawab Mohamad Munir untuk memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sekiranya Tuanku Sultan berkenan untuk mencemar duli dan menghadiri acara berkenaan.

Faekah turut mendakwa kekeliruan timbul apabila Mohamad Munir tidak memberikan maklumat sewajarnya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Pihak Istana biasanya akan dimaklumkan mengenai program-program kerajaan negeri dan saya akan bertanya kepada Tuanku Sultan sama ada Baginda akan menghadiri majlis tersebut.

"Tuanku (Sultan) akan memberitahu Baginda lapang untuk hadir dan saya akan maklumkan kepada pegawai kerajaan negeri untuk mengesahkan kehadiran. Namun tahun ini kita tidak dimaklumkan tentang perkara berkenaan. Bagaimana kita akan tahu jika Tuanku Sultan berkehendak untuk hadir?," soal beliau.

Mengapa Anwar dijemput?

Sementara itu, FMT turut mendapatkan komen mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang turut mempersoalkan kehadiran Anwar sebagai jemputan utama dalam majlis tersebut.

"Siapa yang jemput Anwar? Kenapa jemput Anwar? Itu yang masalah timbul. Pejabat Menteri Besar arahkan agar kerajaan negeri menjemput Anwar. Tidak pernah dalam satu program ada dua jemputan utama. Jadi kewajipan Kerajaan Negeri dibawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjemput Tuanku Sultan," katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau turut mendakwa urusan jemputan utama adalah dibawah tanggungjawab Menteri Besar. Maka adalah tidak bertanggungjawab untuk Abdul Khalid menyalahkan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam urusan jemputan berkenaan.

"Jemputan utama biasanya ditentukan oleh Menteri Besar. Jemputan lain akan diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri. Abdul Khalid sepatutnya tidak boleh memberi alasan dan menyalahkan Mohamad Khusrin, sedangkan sepatutnya beliau memberi sebab mengapa Anwar dijemput?," soal beliau.

READ MORE HERE

 

‘Kenapa baru sekarang nak timbulkan bendera merah putih?’ Khoo Kay Kim

Posted: 02 Sep 2012 03:03 PM PDT

Menurut pakar sejarah itu, bendera "Jalur Gemilang" telah diterima oleh majoriti rakyat negara ini semenjak tahun 1957.

"Kenapa baru sekarang nak timbulkan soal bendera merah putih?

"Bendera yang ada kaitan dengan satu negara, diputuskan oleh majoriti rakyat.

"Bendera yang digunakan sekarang sudah diterima oleh rakyat semenjak tahun 1957," katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.

Khoo juga menyifatkan tindakan mengibarkan bendera alternatif oleh pihak tertentu sebagai tindakan ahli politik yang tidak ada kerja lain.

"Kalau majoriti rakyat nak tukar bendera, bolehlah tukar.

"Kalau tidak kita guna sahaja yang sedia ada," katanya lagi.

Individu yang bertanggungjawab mengibarkan bendera alternatif ketika himpunan Gabungan Janji pada malam sambutan ambang Kemerdekaan telah membuat pengakuan dan merasakan bendera alternatif yang di bawa pihaknya layak dikibarkan atas nilai sejarah yang terdapat pada bendera berkenaan.

Melalui blog singaselatan.blogspot.com miliknya, individu berkenaan mengakui dia dan rakannya bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera tersebut, namun menafikan daripada mewakili mana-mana parti politik kerajaan mahupun pembangkang.

"Kami tidak mewakili mana-mana parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang, kami mewakili golongan Anak Muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar jalur gemilang kepada sang saka Malaya, kerana sang saka Malaya yang ditukarkan kepada jalur gemilang hari ini," jelasnya melalui entri di blognya itu.

Bendera alternatif, "Sang Saka Malaya" dikibarkan ketika himpunan Gabungan Janji pada malam sambutan ambang Kemerdekaan di Dataran Merdeka malam Khamis lalu.

Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyelar Pakatan Rakyat (PR) dan menuduh gabungan tersebut mahu menukar bendera Malaysia selepas mengambil alih Putrajaya.

Bagaimanapun, pemimpin pembangkang, semalam menafikan mereka berniat mahu menukar bendera nasional dengan bendera alternatif dan menyelar Barisan Nasional (BN) kerana memutar belit fakta dan "menipu" untuk menghentam pembangkang memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

"Menukar bendera bukan agenda Pakatan Rakyat dan tidak pernah dibincangkan atau dibangkitkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat," kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut menyelar Najib dan Kabinetnya kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang mana menurutnya "sangat tidak berasas" dan "isu palsu".

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, turut menyuarakan sentimen sama, berkata "segala tuduhan itu adalah palsu dan telah diberikan jawapan rasmi oleh pemimpin PR".

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut menggesa Najib agar berhenti daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian, dan berkata "kedudukannya sebagai perdana menteri bukanlah lesen untuknya menuduh tanpa bukti".

Malah, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali turut menafikan perkara itu.

"Itu bukan polisi kami, bukan polisi PR."

Beliau turut melihat tindakan mengibarkan bendera alternatif tersebut sebagai "tidak boleh diterima" dan menegaskan "pihak berkuasa perlu menyiasat pihak yang bertanggungjawab ... dan mengambil tindakan sewajarnya".

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved