A. Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkata, amat malang  apabila BN khususnya Najib masih enggan mengakui bahawa pengumuman  pemansuhan itu hasil desakan rakyat khususnya anak muda yang mahukan  perubahan demokrasi.
"Selama 54 tahun mereka tak terfikirkan pun  ISA itu harus dikikis. Tiba-tiba sahaja mendapat ilham, dan tidak  mengakui bahawa ini adalah desakan daripada kelompok antaranya anak muda  bahawa kita sudah tidak tertahan lagi.
"Perdana Menteri pun dua  tiga hari ini mengumumkan...oh, kami...kami sahaja yang meluruhkan ISA  tapi tidak diceritakan kerana desakan-desakan itulah yang mendorongnya  untuk merubah. Kalau tidak ada desakan-desakan itu, saya tidak fikir  (ISA dimansuhkan) kerana itu adalah alat yang sangat bermanfaat  untuk  menekan (rakyat)," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu  berucap merasmikan pelancaran buku Puisi Jadi Senjata yang memuatkan  himpunan sajak anak muda sookoong A. Samad Said dan Bersih 2.0 di Dewan  Annex, Central Market, dekat sini, semalam.
Pak Samad yang  merupakan antara pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih  2.0) menghadap Sultan Mizan untuk merundingkan Himpunan Bersih 2.0, 9  Julai lalu juga tidak menafikan puisi anak muda ini turut mempengaruhi  tindakan Najib.
"Apa yang dilakukan ini sebenarnya satu  keberanian, satu pernyataan yang akhirnya antalogi ini masuk dalam arus  massa Perdana Menteri untuk mengumumkan penghakisan ISA.
"Itu  saya fikir satu kemenangan yang baik, dan tentunya Perdana Menteri tidak  akan mengakui itu. Tapi mahu tidak mahu, ini adalah satu jalur yang  menggerakkan dan kemudian menjadi sungai yang besar mengasak, dan itulah  yang berlaku," katanya di hadapan kira-kira seratus hadirin,  majoritinya golongan muda.
 Seni senjata anak muda
Menyifatkan seni  khususnya puisi sebagai 'senjata' berkesan untuk menyedarkan pemerintah,  Pak Samad mahu antalogi ini disebarluaskan ke serata negeri untuk  menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
"Saya mengharapkan  bahawa puisi ini tidak hanya bergerak di Kuala Lumpur,  tetapi tentunya  ada teman lain di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak,  Kedah dan  Pulau Pinang.
"Walaupun dalam bentuk kecil-kecilan, pergerakan menyatakan bahawa seni itu senjata sangat penting.
Sambil  menyatakan rasa bangga terhadap usaha anak muda menerbitkan antalogi  ini, Pak Samad berkata suara anak muda yang diterjemahkan melalui seni  mampu merubah keadaan negara berbanding orang tua yang sudah selesa  dengan kedudukan mereka.
"Yang sudah-sudah orang mengatakan seni  itu hiburan sahaja, main-mainan sahaja. Tapi di tangan anak-anak muda,  puisi menjadi senjata.Saya amat berbangga
"Saya sangat yakin  hanya suara anak muda sahaja akan merubah. Orang tua ia sudah bersikap,  maksudnya dia tidak mahu diganggu. Tapi yang benar sekarang ini ialah  dunia anak muda. Bukan dunia saya lagi," katanya.
Beliau turut  mengingatkan anak muda agar tidak terus membiarkan kuasa zalim terus  membelenggu rakyat namun harus menghapuskannya melalui undi dalam  pilihan raya akan datang.
"Saya harap suara muda ini membenihkan  suatu keazaman untuk regim change. Kalau tidak, bermakna andalah yang  membenarkan suatu kuasa itu berterusan dan jangan salahkan orang-orang  tua, salahkan diri anda sendiri.
"Saya mengharapkan anak muda  tidak hanya menggunakan sajak sebagai senjata tapi menggunakan undi juga  sebagai senjata yang sangat bermanfaat," pesan beliau yang mula menjadi  ikon anak muda sejak lantang menyuarakan bantahan terhadap sikap  kerajaan BN melalui karya dan turut turun ke jalanan berdemonstrasi.
 
  
0 ulasan:
Catat Ulasan