Selasa, 26 Julai 2011

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Guna sistem biometrik tolak dakwaan pembangkang

Posted: 25 Jul 2011 09:01 AM PDT

Tetapi kepada pakatan pembangkang, mereka melihat sudut negatif kerana bimbang sistem itu boleh disalahgunakan untuk warga asing turut menjadi pengundi.

Pemikiran sebegini seolah-olah mahu menafikan apa sahaja pembaharuan untuk menambahbaik sistem pilihan raya negara kita. Sedangkan pihak pembangkang yang beria-ia mahu satu sistem yang lebih baik digunakan untuk pilihan raya akan datang.

Mereka juga yang sering mendakwa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini.

Jadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu laksanakan sistem biometrik ini agar dapat mengatasi dakwaan-dakwaan berkenaan.

Kepada kerajaan, teruskan usaha untuk menambahbaik SPR.

Kerajaan pun sudah bersetuju memberi peruntukan kepada SPR bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi berdaftar pada pilihan raya nanti.

Pun begitu, pembangkang tidak akan bersetuju dengan cadangan dan buah fikiran kerajaan dan SPR selagi ia bukan datang daripada idea mereka.

Bagi mereka pilihan raya yang adil mesti memenuhi lapan perkara dalam tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2).

Sebenarnya, tanpa demonstrasi atau perhimpunan Bersih pun kerajaan akan sentiasa berusaha menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini dari semasa ke semasa.

Oleh kerana sistem biometrik ini masih baru di negara kita, maka elok SPR memberi taklimat bagaimana proses operasi, apa tindakan pencegahan penipuan dan apa keberkesanannya kepada masyarakat.

Lakukan kajian secara terperinci mengenai sistem biometrik. Antara perkara yang SPR perlu buat kajian ialah kecekapan infrastruktur jalur lebar dan talian internet ketika berlangsungnya hari pengundian.

Mungkin di kawasan bandar tiada masalah tetapi bagaimana kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, malah kawasan luar bandar di Semenanjung pun ada yang masih belum menerima kemudahan jalur lebar.

Perkara penting yang perlu dielakkan ialah jangan diulangi kegagalan penggunaan dakwat kekal di peringkat akhir pada pilihan raya umum lalu setelah dihebohkan pelaksanaannya. Penggunaan dakwat kekal nampaknya masih menjadi salah satu tuntutan Bersih 2.

Kita harap sistem biometrik dapat membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik dan pantas.

Sistem biometrik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang akan digunakan oleh SPR dikatakan tidak boleh ditembusi kepada penyalahgunaan oleh pihak berkepentingan untuk menipu ketika pilihan raya.

Namun begitu pakatan pembangkang awal-awal lagi berkeras menolak penggunaan sistem biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.

Kebimbangan pembangkang ialah bolehkah masalah isu pengundi hantu atau mengundi lebih daripada sekali dikesan.

Dalam operasi pilihan raya, semua wakil parti politik yang bertanding turut menjadi pemerhati pilihan raya. Mungkin seseorang pengundi boleh memberi kad pengenalan palsu, atau bercukur janggutnya tetapi dia tidak boleh menukar maklumat dalam biometrik.

Kita berharap pelaksanaan sistem biometrik ini dapat berjalan lancar.

 

Persoalan kritikal untuk Tengku Razaleigh

Posted: 24 Jul 2011 04:58 PM PDT

SAYA menerima undangan dari pejabat Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menghadiri majlis pelancaran NGO baru, iaitu Amanah Warisan Merdeka (Amanah) yang diadakan pada 22 Julai 2011, di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur.

Sewaktu undangan dikemukakan, juga terbaca beberapa laporan sebelum ini, saya agak kabur dan tidak pasti NGO apakah yang hendak dilancarkan Ku Li. Apa matlamatnya, siapa keanggotaannya, semuanya bermain di benak kepala.

Saya bersama beberapa rakan dari Harakah tiba di Memorial Tunku kira-kira jam 9.30. Kami melihat tempat letak kenderaan sudah penuh. Ramai yang terpaksa parking berlapis dan ada yang terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari dewan di mana majlis dijadual berlangsung.

Kami disambut Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. Beliau agak gembira apabila kami memperkenalkan diri, dari Harakah.

Saya melihat ramai Tan Sri, Dato' Seri, Dato' dan orang-orang kenamaan. Mereka terdiri daripada bekas Menteri, bekas Ketua Menteri, bekas Timbalan Ketua Menteri, bekas Timbalan Menteri, bekas-bekas Ahli Parlimen. Kesemuanya bekas-bekas pemimpin Barisan Nasional.

Yang mewakili pembangkang hanya dua orang, iaitu Naib Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar dan Presiden Kita, Dato' Zaid Ibrahim.

Dalam dewan memorial yang sederhana besarnya, sesak dengan tetamu yang hadir. Mereka jelas menunjukkan minat untuk mengetahui NGO baru yang hendak dilancarkan.

Diperkenalkan kepada hadirin pemimpin utama Amanah seorang demi seorang. Ada wakil (bekas pemimpin yang masih menjadi ahli parti) dari Umno, MCA, MIC, Gerakan, wakil Sabah dan Sarawak. Kesemua mereka dari pelbagai kaum dan agama.

Kelihatannya seolah-olah NGO Amanah ini mengamalkan prinsip sebenar 1Malaysia.

Mereka memilih majlis pelancaran diadakan sebagai simbolik untuk menghidupkan kembali seruan Bapa Kemerdekaan yang mahu rakyat Malaysia bersatu sebagai sebuah keluarga, jujur dan ikhlas dalam muafakat, mengelakkan persengketaan dan tolong menolong antara satu sama lain tanpa mengambil kira latar belakang, kaum mahupun agama.

Sebagai peneraju utama Amanah, Ku Li lantas menafikan ianya bukan gerakan protes terhadap kerajaan, bukan juga hendak bermain politik.

Tetapi menurut Ku Li, Amanah ditubuhkan untuk menyedarkan warga Malaysia supaya tidak berpeluk tubuh, tidak menyerah dan tidak pasif terhadap buruk laku, rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku dalam negara.

Kata Ku Li, Amanah mahu menyampaikan kehendak hati mereka kepada pihak berkuasa dengan cara tertib dan demokratik sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan negara.

Apa yang dipertegaskan Ku Li, pada saya, ianya saya hormati kerana itu cara beliau dalam menangani segala permasalahan dalam negara. Cara kita, cara Pakatan Rakyat sudah tentu berbeza.

Namun kita mempunyai hasrat yang sama, cuma pendekatan sahaja berbeza. Persoalannya apakah pendekatan yang diambil Ku Li dan rakan-rakannya, mampu memberikan impak?

Ya, kita akui, kita harus bertindak berdasarkan Perlembagaan dan membuat teguran berdasarkan ruang yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Namun apakah yang hendak Ku Li harapkan kepada kerajaan Umno-BN yang sudah terlalu banyak melanggar tata etika Perlembagaan?

Ku Li dan rakan-rakannya harus ingat bahawa tidak ada siapa (khususnya Pakatan Rakyat)  yang mahu melanggar Perlembagaan, yang kita tentang ialah kerajaan yang menyebabkan kedudukan Perlembagaan tunggang langgang.

Daripada pemerhatian saya, apa yang pasti, Amanah digerakkan majoritinya oleh bekas-bekas pemimpin yang masih menganggotai parti-parti komponen BN.

Mereka begitu kritis dengan kerajaan, tetapi mereka tidak berani bersuara seperti Pakatan Rakyat. Mereka hendakkan reform dalam negara, tetapi mereka adalah Bersih versi elit. Iaitu golongan yang tidak berani turun ke jalan raya.

Tidak dinafikan beberapa hasrat yang dinyatakan Ku Li dan Kadir dalam ucapan mereka berkisar kepada persoalan yang sama dibangkitkan Pakatan Rakyat.

Hasrat Amanah adalah hasrat yang murni. Pendekatan yang mahu diambil Amanah adalah pendekatan yang berhemah. Ya, ianya sesuatu yang noble.

Namun, harus ditanya Ku Li dan rakan-rakannya, golongan manakah yang akan menyokong NGO baru seperti Amanah yang dilancarkannya?

Amanah sudah tentu tidak akan se-agresif Perkasa. Amanah tidak se-rasis Perkasa. Perkasa tidak ramai penyokong. Hanya dua tiga kerat sahaja. Amanah barangkali akan mendapat penyokong yang lebih.

Persoalannya yang hendak dilontarkan kepada Ku Li dan rakan-rakan ialah, siapakah sasaran kempen mereka? Kepada siapakah mesej mereka hendak disampaikan.

Ku Li dan rakan-rakan tidak sesekali boleh mengharap media arus perdana yang senantiasa menjadi hamba kepada goverment of the day. Ku Li sendiri dan beberapa orang rakannya dalam Amanah, pernah 'dibakul sampahkan' kerana agak kritis dengan kerajaan.

Dengan lain bahasa, no way NGO tajaan Ku Li akan mendapat tempat di dada media arus perdana, kerana mereka tidak sealiran dengan BN.

Sasaran Amanah juga bukan pendukung Pakatan Rakyat. Bukan juga pendukung perjuangan Bersih. Pakatan Rakyat dan Bersih adalah penentang tegar kemungkaran Umno-BN. Tidak ada maknanya Amanah berkempen kepada rakyat yang mendukung perjuangan Pakatan Rakyat.

Justeru Ku Li dan rakan-rakannya tidak ada pilihan selain berkempen untuk menarik seramai mungkin anggota BN dan menyedarkan mereka tentang salah laku yang berlaku dalam negara.

Tidak dinafikan Ku Li seorang pemimpin yang jujur dan ikhlas, seorang anak Raja yang sanggup turun berjuang untuk kepentingan rakyat. Namun kejujuran dan keikhlasan tidak memberi apa-apa makna, jika perjuangannya tidak disokong.

Amanah tidak akan dilihat mempunyai kredibiliti jika ia gagal menarik sokongan dari dalam BN. Pada pandangan saya secara peribadi, Amanah akan lebih disokong rakyat, akan jadi lebih credible jika ia menggabungkan dirinya dengan Pakatan Rakyat.

Kita berganding bahu dalam menjalankan tugas. Pakatan Rakyat sudah mempunyai 48 peratus undi rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008. Ku Li dan rakan-rakannya dalam Amanah, harus mencari antara tiga hingga lima peratus sahaja undi dari kalangan penyokong BN.

Moga dengan kerjasama kita menghapuskan kemungkaran politik dalam negara, akan mengembalikan negara ke landasan yang sebenar. Kepada Amanah, saya ucapkan selamat berjuang!

 

Air Asia beri tamparan kepada Najib?

Posted: 24 Jul 2011 04:56 PM PDT

Selepas memalukan negara di persada antarabangsa dengan cara tidak cerdik pengendalian Bersih 2.0 sehinggalah penahanan peguam hak asasi Perancis William Bourdon, Asia Sentinel melaporkan bahawa Najib dan negara kini kena terpaksa berdepan pula dengan keputusan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes yang mengesahkan keputusan untuk memindahkan pusatnya ke Jakarta Khamis lalu, di Tokyo.

Laporan itu memetik Tony sebagai berkata langkah itu adalah untuk menaikkan taraf imej Air Asia sebagai syarikat penerbangan Asia Tenggara dan bukan sekadar syarikat penerbangan Malaysia.

Air Asia berkembang pesat ketika negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan dikaitkan juga dengan menantu beliau yang kini ketua pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar.

"Saya tak tahu sama ada Najib diberitahu atau tidak. Tapi buat apa Tony harus peduli? Ada asas perniagaan yang cukup untuk berpindah ke Jakarta," kata seorang rakan perniagaan yang rapat dengan Tony.

Asia Sentinel turut menceritakan bahawa lawatan Najib ke tiga negara baru-baru ini hanya untuk memperbaiki imej negara selepas terjejas teruk akibat cara kerajaan pimpinannya mengendalikan perhimpunan awam Bersih 2.0 yang menuntut pilihanraya adil dan bersih.

"Seperti yang berlaku 1980-an, Malaysia turut meng'hitam'kan laporan mengenai perhimpunan tersebut dalam majalah The Economist," tulis laporan itu lagi.

Selepas itu, laporan itu berkata pada tanggal 23 Julai yang lalu, negara terpaksa berdepan dengan keputusan Suruhanjaya Diraja yang merumuskan bahawa 'seorang pembantu politik kepada seorang ahli politik pembangkang telah didesak sebegitu teruk dalam satu marathon soal-siasat kerana pembelanjaan pejabat sehingga beliau buang sendiri keluar daripada tingkap dan bunuh diri.'

Ini pula diikuti dengan penahanan Bourdon di KLIA yang akhirnya dihantar pulang ke Paris Jumaat lalu.

"Keputusan Air Asia untuk memindahkan ibu pejabatnya ialah satu propaganda negatif yang serius kepada pelan 1Malaysia Najib, yang merupakan satu usaha intensif untuk menarik pelaburan asing ke dalam negara.

Pada September 2010, kerajaan Malaysia telah mengumumkan satu pelan agresif untuk menggerakan beratus billion dalam pelaburan swasta untuk membawa negara keluar daripada perangkap golongan pendapatan sederhana, dan melipat gandakan pendapatkan untuk membawa Malaysia ke tahap negara membangun pada 2020," kata laporan tersebut.

Air Asia, kata Asia Sentinel mungkin merupakan syarikat kedua selepas Petronas yang mempunyai impak antarabangsa.

"Petronas telah melakukannya dengan mengiklankan dirinya semasa Formula 1 dan menaja sebuah kereta, di mana Tony juga melakukannya juga," tambah laporan itu lagi.

Air Asia yang dilancarkan pada tahun 2002 dengan hanya dua kapal terbang, kini memiliki 93 kapal terbang yang menakluki seluruh Asia. Selain itu, adanya juga Air AsiaX yang terbang ke Eropah, Jepun dan Korea. Sebelum ini, syarikat tersebut baru sahaja menempah 300 Airbus A30neos untuk mengembangkan penerbangannya ke luar Asia.

"Ini bukan sahaja merosakkan imej awam. Untuk 10 tahun yang lepas, berdasarkan report Reuters, syarikat swasta telah melabur sebanyak RM535 billion, berdasarkan data rasmi. Pelaburan swasta untuk Malaysia hanya 10 peratus daripada GDP, yang terendah di Asia dan satu pertiga daripada apa yang sebelum krisis kewangan Asean 1998. Kerajaan, menurut Reuters, menyumbangkan separuh daripada pelaburan di Malaysia," kata laporan tersebut.

Tambahnya lagi, Malaysia sudah lama dibelenggu pengeluaran modal dari negara, yang sering dilihat sebagai satu indikasi ketidakpercayaan para peniaga terhadap negara, walaupun dalam kes Malaysia mungkin sebahagian besar itu berpunca daripada kecurian balak yang keluar daripada negara melalui Sarawak dan Sabah.

"Walaupun begitu, laporan Global Financial yang berpusat di Amerika Syarikat telah menjangkau dalam satu laporan 2010 bahawa sebanyak RM888 billion telah keluar daripada negara antara tahun 2000 sehingga 2008.

Pengeluaran wang haram secara amnya melibatkan pemindahan wang yang diperolehi melalui aktiviti-aktiviti haram seperti rasuah, urus niaga yang melibatkan barang-barang seludup, kegiatan jenayah dan usaha untuk kekayaan tempat perlindungan daripada pihak berkuasa cukai.

Ketika ditanya mengapa beliau membuat keputusan untuk memindahkan ibu pejabat Air Asia ke Jakarta, ini jawapan Tony.

"Asean berpusat di Jakarta, dan Indonesia bakal menjadi ekonomi terbesar di Asean dalam masa yang akan datang… dan saya suka di sini," kata Tony dipetik Asia Sentinel.

Jawapan Tony, kata laporan itu sudah menunjukkan bahawa beliau telahpun membeli sebuah rumah yang baru di Jakarta. Namun yang lebih penting, adakah ini turut menunjukkan bahawa ekonomi negara semakin malap di bawah kepimpinan Najib?

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved