Sabtu, 1 Jun 2013

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Baik pulih persefahaman kebangsaan

Posted: 31 May 2013 05:02 PM PDT

Dalam titah itu, Seri Paduka mahu agar prinsip-prinsip seperti demokrasi berparlimen yang sihat dan matang, Raja Berpelembagaan sebagai teras kestabilan nasional, menghormati falsafah Persekutuan, meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan memuliakan kedaulatan undang-undang dijadikan teras panduan kepada proses itu.

"Membaik pulih semula persefahaman kebangsaan harus menjadi agenda nasional yang menjadi keutamaan semua pihak. Sama ada Malaysia terus berjaya dan mencapai tahap pembangunan berikutnya sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi atau menjadi sebuah negara gagal, semuanya bergantung kepada permuafakatan yang akan sama-sama kita capai.

"Oleh kerana itu, Beta mahu semua pihak mengekalkan dan memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan yang sedia wujud," titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.

Seri Paduka turut mengingatkan sesetengah pihak yang cuba membaja permusuhan dan persengketaan di kalangan rakyat demi kepentingan agenda sempit mereka, supaya segera menghentikan perbuatan yang tidak berperlembagaan itu.

Seri Paduka bertitah usaha pengukuhan perpaduan nasional tidak boleh dianggap sebagai tugas serta tanggungjawab pihak tertentu sahaja, sebaliknya ia menjadi agenda setiap warganegara.

"Beta berkehendakkan agar kerajaan pimpinan Mamanda Perdana Menteri Beta supaya memastikan setiap dasar pembangunan negara hendaklah berpandukan kepada prinsip meraikan kemajmukan.

"Realitinya, masa depan kita saling berkait dan memerlukan satu sama lain. Semua rakyat Beta, tanpa mengira kaum dan agama seharusnya mendapat pembelaan," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim melahirkan rasa sukacita kerana proses pilihan raya umum lepas berjalan dengan tertib dan harmonis.

Baginda turut mengulangi agar semua pihak menerima keputusan yang telah dibuat rakyat iaitu melalui peti undi yang selaras dengan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang.

"Jika terdapat sebarang perbezaan atau ketidakpuasan hati, maka gunakanlah mekanisme mahkamah yang sedia ada, sepertimana diperuntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.

"Beta tidak mahu mana-mana pihak mengambil sebarang tindakan yang lampau undang-undang, mahupun lampau Perlembagaan," titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga berharap agar kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus mendukung cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju, beretika, bermoral tinggi dan rakyatnya dikenali sebagai bangsa yang berakhlak, bermaruah serta disegani.

 

Menteri Indonesia: Anwar mungkir janji

Posted: 31 May 2013 12:49 AM PDT

Hamid Awaludin, bekas menteri undang-undang dan hak asasi manusia Indonesia, berkata "oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU13 atau pada hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai".

Bagaimanapun, "keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai pemenang" katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu diadakan kerana beliau "yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat".

Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai duta besar Indonesia ke Russia dan Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir pada perbincangan yang diadakan antara bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib.

Jusuf Kalla orang tengah

"Jusuf Kalla sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi orang tengah. Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar," katanya.

Laporan media baru-baru ini menyebut Anwar menafikan beliau memungkiri perjanjian damai yang diatur Jusuf dan mendakwa bekas naib presiden Indonesia itu menemuinya untuk menawarkan bantuan bagi memastikan urusan selepas PRU13 berjalan secara teratur.

Bagaimanapun, satu laporan lain pula menyebut Anwar mengaku beliau ada membuat perjanjian dengan Najib, yang menyaksikan Jusuf sebagai orang tengahnya, tetapi mendakwa Barisan Nasional (BN) menjadikan perjanjian itu terbatal berikutan cara parti gabungan itu melancarkan kempennya.

PRU13 menyaksikan BN, yang diterajui Najib, kembali berkuasa apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Anwar dan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei dengan mendakwa berlaku penipuan pilihan raya.

Hamid berkata Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu, "tapi Najib memberi jaminan beliau akan mematuhi perjanjian itu."

"Beliau menerima perjanjian itu," kata Hamid dan menambah bahawa Najib mengotakan janjinya serta menyeru ke arah penyatuan nasional ketika berucap apabila BN diisytiharkan kembali berkuasa.

"Tindakan Najib ini menepati apa yang telah beliau ucapkan," katanya.

Malah, kata Hamid, sehari selepas kemenangan Najib, beliau tetap optimistik perjanjian itu akan terus terpakai dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Tetapi, Anwar memungkirinya," kata beliau.

"Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik," katanya.

Berikut adalah soal jawab dengan Hamid:

READ MORE HERE

 

Yang di-Pertuan Agong Mahu Rakyat Akur Keputusan PRU-13

Posted: 30 May 2013 01:00 AM PDT

Sambil merakamkan tahniah kepada anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih, Seri Paduka berharap semua pihak di negara ini memelihara keutuhan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak merdeka.

"Jika ada perbezaan pendapat, gunakanlah kaedah penyelesaian seperti mana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," titah baginda sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong esok yang disiarkan secara langsung menerusi RTM di Kuala Lumpur, malam Jumaat.

Baginda bertitah: "Tindakan menanam kesangsian kepada institusi yang telah diamanahkan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelolakan pilihan raya di negara ini ialah perbuatan yang amat berbahaya dan hanya bakal menuai badai pertelingkahan yang tidak berkesudahan."

"Janganlah kita sekali-kali melemah dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan Falsafah Persekutuan yang selama ini mendasari ramuan kejayaan Malaysia," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah sebarang perubahan politik di negara ini perlulah dilakukan secara aman dan menerusi peti undi berpandukan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

"Apakah kita sanggup melihat Malaysia yang tercinta ini hancur dan lumpuh disebabkan oleh perbuatan kita sendiri. Merosakkan sebuah kejayaan amat mudah, namun untuk membinanya kembali amatlah sukar.

"Oleh itu, janganlah benarkan ia terjadi, wariskanlah Malaysia yang bersatu dan berjaya, kepada generasi Malaysia yang mendatang. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah, seribu penyesalan sudah tidak berguna," titah Seri Paduka.

Baginda mengingatkan anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih supaya berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan terbaik untuk rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Tuanku Abdul Halim turut mengajak rakyat bersama-sama meneruskan usaha mencapai matlamat nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Baginda mengingatkan semua pihak bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati saat ini bukannya datang bergolek, sebaliknya hasil daripada pelaksanaan yang teliti dan rapi oleh para pemimpin terdahulu.

"Menjelang tanggal 31 Ogos ini genaplah 56 tahun kita mencapai kemerdekaan, manakala pada 16 Sept pula kita akan meraikan 50 tahun pembentukan Malaysia.

"Hakikatnya, walaupun secara relatifnya Malaysia merupakan sebuah negara yang masih muda, namun kita telah berjaya meletakkan kedudukan negara pada tempat yang membanggakan seperti yang ada pada hari ini.

"Namun, walau sempurna mana pun strategi yang telah dirangka oleh kerajaan, walau secekap mana pun pelaksanaannya, jika tidak wujud keamanan dalam negara, mana mungkin semua hasrat yang diimpikan mampu dizahirkan," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan anutan agama dipersatukan dengan lima prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved