Sabtu, 4 Mei 2013

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Pakatan bakal bentuk k’jaan baru?

Posted: 03 May 2013 02:55 PM PDT

Sementara Barisan Nasional (BN) pula dalam kaji selidik yang disalurkan anggota Kor Risik ATM itu menunjukkan hanya mampu memenangi 105 kerusi sahaja.

Kajian yang turut diguna pakai oleh BN itu menunjukkan Pakatan selain berjaya mempertahankan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, juga berjaya memenangi semula Perak serta merampas Negeri Sembilan dan Terengganu.

Demikian menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu program ceramah di Seksyen 7 di sini malam tadi, dipetik dari blog kelab greenboc.

"Johor walaupun kita boleh memenangi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen yang jauh lebih banyak, tetapi mengikut 'survey' itu belum boleh dapat tawan negeri, saya cakap betul ini.

"Melaka, kita boleh tambah kerusi Parlimen dan negeri (DUN), tetapi masih belum boleh tawan negeri.

"Pahang, kita boleh tambah kerusi tetapi kita masih belum boleh tawan lagi, menjadikan kita ada tujuh negeri dan Perlis katanya 50/50," ujar Mustafa.

Menurut beliau, keputusan kaji selidik itu berdasarkan keadaan semasa sekiranya PRU-13 diadakan Selasa lalu.

Bagaimanapun tambah Mustafa, beliau juga dimaklumkan bahawa keputusan kaji selidik itu boleh berubah dalam masa beberapa hari sebelum menjelang hari mengundi Ahad ini.

"Apakah dia akan turun atau pun dia akan naik, trend pada waktu ini menunjukkan kita sedang naik, maknanya tidak mungkin kurang daripada 117 kerusi.

Najib cemas

"Ini yang mencemaskan (Perdana Menteri) Najib Tun Razak, mencemaskan (Timbalan Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan yang paling cemas (bekas Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri," katanya lagi.

Mustafa dalam ceramahnya turut menjelaskan, kaji selidik yang dikeluarkan Kor Risik ATM merupakan kajian paling dipercayai pemimpin BN berbanding dua lagi agensi kerajaan lain, Kemas dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia.

READ MORE HERE

 

Antara Royalti Mewah dan Perkongsian Pemilikan Petronas

Posted: 03 May 2013 12:04 PM PDT

Debat mengenai royalti minyak adalah antara isu popular untuk penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) ketika negara berhadapan dengan pilihanraya 5hb Mei ini. Di Kelantan, Gerakan "R" untuk 'royalti' meraih banyak sokongan, terutama di kalangan penyokong PR. Bertahun lamanya, kita menyaksikan pertelingkahan royalti dijadikan tumpuan di empat negeri pengeluar minyak, iaitu Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Sementara Kelantan tetap dengan perjuangannya menuntut haknya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Sabah dan Sarawak pula berusaha untuk mendapatkan bahagian yang lebih daripada 5% ke atas hasil pendapatan minyak dan gas.

 

Dalam langkah yang tidak pernah diambil sebelum ini, PR dalam Buku Jingga yang dilancarkan pada Disember 2010 menganjurkan peningkatan sumbangan royalti minyak daripada Petronas kepada kerajaan negeri dari 5% kepada 20%. Langkah ini sekali lagi ditekankan dalam manifesto pilihanraya pakatan itu. Tambah menarik, apabila BN juga melancarkan manifesto terkini yang menjanjikan perkara yang lebih kurang sama, menampakkan bahawa kedua-dua pihak menyedari kepentingan untuk menawan hati para pengundi negeri-negeri terbabit melalui pemberian royalti minyak. Sesiapa pun yang menang dalam pilihanraya kali ini, empat negeri akan menyaksikan peningkatan pendapatan, sekiranya janji ini ditunaikan. Tetapi, bagaimanakah perubahan ini memberi kesan kepada Petronas?

 

Hakikat Di Sebalik 20 Peratus Royalti

 

Pertama sekali, kita perlu mengetahui bahawa royalti atau pemberian tunai di dalam PDA 1974 ialah kos yang ditolak terus daripada pendapatan, bukannya perkongsian dalam keuntungan operasi. Apa sahaja pendapatan yang diterima oleh Petronas atau operator minyak daripada jualan minyak dan gas, royalti ialah bahagian pertama yang ditolak. Sebagai contoh, bagi setiap tong minyak yang dijual pada harga USD100, royalti sebanyak USD5 atau USD20 (bergantung kepada peratusan) akan dikira serta merta. Hanya jumlah yang tinggal selepas royalti dan cukai dibayar yang akan diberikan kepada Petronas untuk mengimbangi pelaburan besar dan kos operasi, serta membayar pampasan untuk pengeluar dan operator minyak yang lain.

 

Bayangkan apa yang akan terjadi jika harga minyak mentah turun! Situasi ini bakal meletakkan tekanan besar ke atas keuntungan Petronas, yang akhirnya akan memberi kesan kepada pendapatan yang diberikan kepada kerajaan persekutuan dalam bentuk dividen (perlu diketahui bahawa kerajaan persekutuan menerima pendapatan daripada Petronas melalui pelbagai kaedah; selain royalti dan cukai sebagai kerajaan tuan rumah, kerajaan turut menerima dividen sebagai pemilik saham Petronas).

 

Kedua, berdasarkan hujah di atas, 20% pembayaran royalti minyak akan berpotensi mengurangkan daya tarikan ke atas kewujudan sedia ada tapak-tapak Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC). Tanpa perlu mendalami selok belok PSC yang rumit, cukup sekadar kita mengetahui bahawa operator-operator minyak seperti Shell dan Exxon Mobil yang beroperasi di Malaysia, di bawah PSC, perlu membayar royalti dan cukai kepada Malaysia; tetapi pada masa yang sama, mereka dijanjikan beberapa kelebihan seperti 'kos minyak' dan 'keuntungan minyak' untuk menggalakkan mereka datang ke Malaysia dan mengusahakan telaga-telaga minyak kita.

 

PSC secara dasarnya menjamin Malaysia diberikan pampasan sewajarnya untuk hasil minyak yang digali dalam kawasan jajahan kita sendiri, tetapi pada masa yang sama turut memastikan operator minyak masih mendapat margin keuntungan bagi usaha produktif mereka. Melainkan Petronas mengambil langkah menelan sendiri kehilangan 15 titik peratusan daripada pendapatan asal mereka, dan tetap menjanjikan pembahagian keuntungan yang sama bagi semua operator minyak seolah-olah royalti kepada negeri-negeri masih 5%, maka PSC akan kehilangan daya tarikannya di mata para operator antarabangsa.

 

Ketiga, sistem ganjaran melalui pembayaran royalti minyak boleh juga menyebabkan negeri-negeri pengeluar tidak berminat dengan keuntungan dan kelangsungan Petronas.  Dalam hal ini kerajaan-kerajaan negeri terbabit memang tidak dapat dipersalahkan. Dengan mendapat potongan terawal daripada pendapatan minyak, lebih mudah untuk kerajaan negeri-negeri ini kekal dalam zon selesa tanpa perlu membimbangkan cabaran dan kelangsungan operasi yang berlaku dalam proses-proses seterusnya. Maka, negeri-negeri mungkin tidak akan peduli sekiranya operator asing tidak lagi diberikan insentif untuk beroperasi di telaga minyak Malaysia dan menggunakan kemahiran serta teknologi mereka untuk menggali minyak, ataupun sekiranya produktiviti jangka panjang dan kelestarian operasi Petronas terancam.

 

Perkongsian Hak Milik Petronas dengan Negeri Pengeluar Minyak

 

Tiga hujah di atas menggambarkan sebahagian daripada cabaran untuk melaksanakan peningkatan sumbangan royalti kepada 20%. Lagipun, Petronas ialah salah satu cerita kejayaan Malaysia yang menyumbang besar kepada kemajuan Malaysia. Tanpa dapat dipersoalkan, kelestarian dan kelangsungan Petronas menjadi kepentingan semua negeri dan rakyat Malaysia.

 

Penting juga diingatkan bahawa Petronas boleh menyandarkan kejayaannya kepada kehebatannya menguruskan secara berkesan sumber hidrokarbon yang disumbangkan oleh negeri pengeluar. Walaupun sumbangan pendapatan yang dihasilkan oleh sumber petroleum tempatan pada masa kini sudah berkurang kepada 60% daripada keseluruhan pendapatan Petronas, tidak mungkin Petronas berada di tempatnya pada masa kini; jika tidak kerana 'sumber modal' petroleum yang disumbangkan oleh negeri-negeri pengeluar ini kepadanya, melalui PDA 1974, dan enakmen lain yang memberikan hak penjagaan dan pemilikan lapangan-lapangan minyak kepada Petronas. Walapun pada masa kini, pendapatan daripada blok minyak dan gas domestik bukan lagi menjadi komponen terbesar dalam pendapatan Petronas, pendapatan lain tidak akan wujud tanpa petroleum daripada negeri-negeri pengeluar ini pada peringkat awalnya. 

 

Kewujudan syarikat-syarikat subsidiari, termasuklah industri sekunder seperti Petronas Gas, LNG, kimia-petro serta perdagangan dan peruncitan minyak, bersama-sama dengan kewujudan kontraktor tempatan seperti Sapura Kencana dan MMHE, telah mencipta lambakan peluang pekerjaan dan limpahan positif ekonomi kepada Malaysia yang tidak akan berlaku tanpa gas dan minyak yang dikeluarkan oleh empat negeri pengeluar. Ingin dicadangkan di sini supaya pemilikan Petronas dikaji semula untuk menjadikannya lebih terangkum.

 

Kini, kerajaan persekutuan memiliki 100% pemilikan saham dalam Petronas. Saya cadangkan kita tetap kekalkan kadar royalti secara 5%, tetapi negeri-negeri pengeluar minyak diberikan keuntungan kongsi penglibatan dalam Petronas melalui pemilikan ekuiti tanpa kuasa mengundi, di mana kerajaan-kerajaan negeri ini tidak dilibatkan dalam urusan pentadbiran bagi menggelakkan birokrasi yang tidak diingini. Dengan ini, proses membuat keputusan dan isu-isu eksekutif masih diberikan kepada para profesional yang telah  bekerja dengan cemerlang menguruskan satu-satunya syarikat negara yang tersenarai dalam Fortune 100 Company.

 

Sebagai contoh, peratus pemilikan 2% oleh setiap daripada empat negeri pengeluar minyak bermakna RM600 milion daripada dividen tetap tahunan, RM30 bilion akan diberikan kepada pemegang saham negeri, manakala selebihnya akan dibayar kepada kerajaan pusat sebagai pemegang saham utama. Bagaimanapun, sebanyak mana hasil ini dibahagikan antara negeri memerlukan perbincangan lanjut.

 

Sebagai pemegang saham, negeri pengeluar minyak pastinya mahu melihat Petronas berkembang dan mengekalkan keuntungan bagi terus menikmati pendapatan dividen daripada syarikat tersebut. Pada masa yang sama, dinamika dan tarikan PSC dan RSC sedia ada dan pertumbuhannya untuk masa depan tidak akan terancam. Dalam kes royalti minyak, negeri-negeri dibiarkan tidak akan berminat dengan keuntungan dan kelangsungan Petronas kerana mereka mendapat royalti terus daripada pengeluaran.

 

Kesimpulannya, tujuan asas perbincangan adalah niat murni untuk meningkatkan pendapatan kepada negeri-negeri ini kerana mereka jelas memerlukannya. Royalti yang tinggi dan perkongsian ekuiti akan dapat meningkatkan pendapatan kepada empat negeri pengeluar minyak yang juga negeri yang termiskin di Malaysia. Ini mampu melindungi kepentingan setiap negeri. 

 

Kaedah memberikan pemilikan ekuiti kepada kerajaan negeri pula, akan mengekalkan status quo  dan tidak langsung menjejaskan Petronas dan kontraktor PSC, serta tetap memberi negeri pengeluar minyak pendapatan tambahan yang diperlukan.

 

Tambahan pula, pembayaran tunai royalti minyak hanya wujud selagi mana gas dan minyak dikeluarkan, sedangkan kepentingan ekuiti dan pembayaran dividen akan berterusan selagi mana Petronas wujud dan beroperasi dengan baik. Alternatifnya, seperti yang dicadangkan oleh PR, Petronas kecil boleh diwujudkan, contohnya Petronas Kelantan, Petronas Sarawak dan sebagainya. Anak-anak syarikat ini akan diuruskan oleh Petronas dengan penglibatan ekuiti oleh negeri pengeluar minyak.

 

* Versi Bahasa Inggeris artikel ini telah diterbitkan dalam The Edge pada 27 April 2013.

 

** Anas Alam Faizli adalah seorang professional minyak dan gas. Beliau mempunyai ijazah sarjana pengurusan projek dan sedang menamatkan ijazah kedoktoran serta berTwitter di @aafaizli

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved