Isnin, 8 April 2013

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Saifuddin Nasution antara 4 muka baharu calon PKR Kedah

Posted: 07 Apr 2013 03:05 PM PDT

Mereka termasuk Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu. Saifuddin merupakan penyandang kerusi Parlimen Machang, Kelantan.

Ketika berucap pada satu ceramah di Bandar Laguna Merbok dekat sini malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Naib Presiden parti N. Surendran sebagai calon di kerusi Parlimen Padang Serai.

Dua lagi muka baharu ialah Ketua Wanita Cabang Sungai Petani Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah (Parlimen Merbok) dan Ketua PKR Cabang Kuala Kedah Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), manakala Datuk Johari Abdul kekal bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR menang di lima daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandinginya. Mereka tewas di kawasan Parlimen Alor Setar dan Langkawi.

Di kerusi Parlimen Merbok, PKR menang menerusi Datuk Rashid Din yang menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Tajul Urus Mat Zain dengan majoriti 3,098 undi.

Kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu dan Padang Serai pula masing-masing dimenangi menerusi Datuk Zulkifli Noordin dan N. Gobalakrishnan namun kedua-duanya bertindak keluar parti selepas itu dan menjadi Anggota Parlimen Bebas.

Bagi kerusi Parlimen Sungai Petani, Johari menewaskan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin manakala kawasan Parlimen Kuala Kedah dimenangi oleh Ahmad Kasim.

Anwar baru-baru ini mengumumkan Ketua Biro Perundangan PKR Gooi Hsiao Leung sebagai calon di kerusi Parlimen Alor Setar tetapi mendapat bantahan DAP Kedah yang turut mahu bertanding di kerusi itu.

 

Impian Hindraf ke Parlimen

Posted: 07 Apr 2013 01:16 PM PDT

Keputusan HRP untuk bertanding menentang calon Pakatan Rakyat mendapat reaksi awal daripada beberapa individu di Facebook.

Sebelum ini, bermula 20 Januari 2013, saya menumpukan pada usaha membuat ramalan mengenai calon-calon MIC yang bakal bertanding di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN); khususnya di Selangor.

Tepat dua bulan kemudian, saya mendapat pengesahan bahawa pemimpin Parti Hak Asasi yang lebih dikenali dengan nama Human Rights Party (HRP) akan turut bertanding kerusi Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Andalas.

Kempen untuk P Uthayakumar dibuat menggunakan slogan "Undi MP Hindraf Pertama ke Parlimen" dan "Peluang Terakhir Hantar Calon Hindraf Pertama ke Parlimen". Saya turut menerima risalah kempen yang diedarkan juga di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam pada 5 April 2013.

Risalah itu didakwa "disediakan oleh P Uthayakumar (20/5/12)". Petikan kata-kata yang paling mengganggu fikiran saya sehingga membuatkan saya memaparkan foto berkenaan di Facebook adalah "Jangan undi BN. Di kawasan selain Kota Raja dan Sri Andalas undi atau tidak adalah pilihan anda."

Serta-merta saya mendapat komen daripada beberapa rakan. Kebanyakan daripada mereka menganggap tindakan Uthayakumar bertanding di Kota Raja dan Sri Andalas sebagai "tindakan yang tidak tepat".

Hal ini kerana langkah HRP akan memecah undi kaum India (khususnya) dan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi-kerusi berkenaan yang disandang oleh calon Pakatan Rakyat (PR).

"Tentulah nasib kaum India lebih buruk nanti berbanding apa yang dikatakan oleh HRP dalam risalah mereka. Apa-apa pun, soal di sini bukan mengenai kaum; sebaliknya tentang perpaduan. Kita perlu memikirkan soal bekerjasama dan tolong-menolong sebagai satu bangsa," kata Alexzander Johnson.

Adib Adam yang lahir di Kuala Lumpur dan kini tinggal di Meru, Klang menggunakan perumpamaan "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran" bagi menggambarkan tindakan HRP.

"Kita sedia maklum bahawa apabila BN kuat, masyarakat minoriti akan terpinggir. Walau gegak-gempita bagaimana pun suara MIC, PPP dan parti-parti minoriti lain dalam BN, suara mereka kurang didengar Umno iaitu parti dominan.

"Kita dapat melihat perubahan dalam kalangan masyarakat minoriti di Selangor dan Pulau Pinang sejak 2008. Oleh itu, adalah penting untuk HRP bersama-sama PR. Tidak perlu mendesak," kata pemuda itu yang menguruskan perniagaan sendiri.

Dalam beberapa tulisan, saya selalu menyebut Hindraf sebagai pemangkin kepada semangat kebangkitan minoriti kaum India untuk berani bersuara dan menuntut hak. Perkara ini turut diakui dan dipersetujui Emmanuel Joseph, seorang eksekutif teknologi maklumat (IT) dari Klang.

"Hindraf bermula sebagai kebangkitan peringkat nasional tetapi kemudian menjadi entiti yang memperjuangkan hak kaum tertentu sahaja; walaupun HRP menggunakan nama 'hak asasi'. Jika HRP yang diterajui Uthayakumar ikhlas dalam perjuangan membela nasib kaum India secara keseluruhan, mereka patut bertanding menentang calon kaum India di semua kerusi," kata pemuda kelahiran Klang itu.

"Kami boleh nafikan peluang PR di Selangor, Putrajaya"

Kuasa sebenar

Wakil HRP, A Sugumaran turut tampil berusaha memberikan penjelasan dalam perbincangan terbuka yang berlaku di dinding Facebook saya.

"Good job, Hindraf. People worry or talk about 'you' only when you hit them where it hurts the most – seat/power!" (Syabas, Hindraf. Orang ramai ambil tahu atau mula bercakap mengenai 'kamu' hanya apabila kamu terkam mereka di tempat yang paling menyakitkan – kerusi/kuasa!) Demikian kata guru swasta berkenaan yang tinggal di Kota Kemuning, Shah Alam.

Perlu disedari bahawa seperti yang ditegaskan oleh Emmanuel, "kuasa" sebenar terletak di Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) dan bukan hanya di Parlimen. Katanya, jika Hindraf atau HRP mahu membuktikan apa-apa, maka mereka perlu menumpukan pada Putrajaya.

"Atau apakah Hindraf hanya percaya pada perwakilan berasaskan kaum semata-mata?" Emmanuel bertanya soalan retorik yang juga sudah mula bermain dalam fikiran saya; kerana saya secara peribadi mahukan Ahli Parlimen dan ADUN yang mampu mewakili Bangsa Malaysia tanpa mengira etnik, kaum dan agama.

Sugumaran yang berasal dari Bedong, Kedah menegaskan bahawa HRP "terpaksa" bersikap memihak/mewakili kaum kerana "kaum-kaum lain tidak ambil kisah isu kaum India".

"Umno dan BN sudah pasti tidak boleh diharapkan. PR pula mahu mewujudkan 'Samyveluisme' yang baru! Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku. Hindraf tidak boleh menang secara bersendirian tetapi boleh menafikan peluang PR menguasai Selangor atau Putrajaya," tegasnya.

Kata-kata itu seolah-olah mengesahkan apa yang dibimbangi ramai; iaitu agenda HRP adalah untuk "menghalang" PR dan bukannya untuk "menentang" BN. Tumpuan HRP juga seolah-olah hanya terhadap masyarakat India.

Persoalan itu juga diketengahkan oleh Alexzander dalam dialog yang berlaku secara terbuka. Jika dan apabila Uthayakumar menang di Kota Raja atau Sri Andalas, adalah dia akan berkhidmat kepada semua penduduk/pengundi di kawasannya atau hanya bagi kaum India?

"Politik berasaskan kaum adalah amat bodoh! Hindraf bermula dengan niat dan perjuangan yang amat murni dan mulia. Hindraf harus kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tindakan HRP menunjukkan seolah-olah niat sebenar adalah untuk kerusi/kedudukan dan bukannya perjuangan hak minoriti," katanya.

Pandangan kebanyakan rakan-rakan yang memberikan komen (termasuk menerusi mesej peribadi) adalah bahawa tindakan HRP akan memecah undi bukan hanya di Kota Raja dan Sri Andalas, tetapi juga di Kelana Jaya, Kuala Selangor, Sri Muda, Seri Setia, Bukit Melawati dan Ijok di mana HRP mahu bertanding.

Pengesahan yang dibuat oleh Sugumaran juga membuktikan bahawa niat HRP secara jelas mahu melakukan 'serangan' ke atas kerusi-kerusi yang ditandingi/dipertahankan calon PR. Maknanya bukanlah mahu "melawan" Umno seperti dikatakan dan dipercayai sebelum ini.

Demikian analisis Emmanuel yang berkata bahawa selain daripada berkempen menentang BN, dia juga kini akan berkempen lebih hebat menentang HRP.

"Bagi saya, kedudukan HRP pada masa sekarang lebih buruk daripada MIC. MIC boleh diumpamakan seperti menerima tulang dan mencium kaki Umno. Pejuang Hindraf dalam HRP pernah masuk penjara (ISA), dicemuh dan dihina dengan pelbagai kata-kata berbentuk rasis. Tetapi HRP kini seolah-olah turut mencium kaki Umno. Jadi, siapa yang lebih teruk: MIC atau HRP?"

Saya memahami kekecewaan yang diluahkan oleh Emmanuel dengan penuh kemarahan. Saya sendiri tidak akan mengundi mana-mana calon yang didapati berubah pendirian semata-mata untuk kepentingan diri. Saya akan memilih calon yang berwibawa.

Jangan terkeliru antara Hindraf dan HRP

Harus dinyatakan bahawa Hindraf dan HRP adalah dua pertubuhan yang berbeza. HRP boleh dianggap sebagai serpihan daripada Hindraf apabila gerakan itu berpecah dahulu. Atas sebab itulah penggunaan "Hindraf" pada risalah HRP sedikit mengelirukan.

 

Read more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2013/04/08/impian-hindraf-ke-parlimen/ 

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved