Ahad, 11 November 2012

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysia Today - Your Source of Independent News


Gejala Melayu murtad sangat mengkhuatirkan

Posted: 10 Nov 2012 07:20 PM PST

(Harakah) - Sepatutnya kedudukan Islam di kalangan orang Melayu, walaupun mempunyai takrif yang tersendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia tidak boleh memberi jaminan bahawa orang Melayu secara hakikatnya boleh kekal keislamannya.

"Kita boleh menegaskan bahawa orang Islam tidak boleh murtad mengikut hukum Islam tanpa dikenakan hukuman mengikut syariat Islam akan tetapi untuk selesa dengan hanya takrifan Perlembagaan mengenai definisi orang Melayu adalah berugama Islam adalah dangkal," kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal dengan tabiat meraih 'kesempatan politik' (political mileage) dalam budaya politik di Malaysia. Dalam hampir semua tutur kata, ahli politik mengambil kesempatan untuk menyerang musuh politik walaupun maklumat yang sahih belum lagi diperolehi.

Cukup hanya melalui laporan akhbar, sudah memadai seluruh jentera media diguna untuk melancarkan kempen memburukkan imej seseorang yang menjadi musuh politik. Tidak cukup dengan itu agensi keselamatan juga diperalat untuk memberi tekanan kepada pihak yang dituduh.

Pemimpin politik pula bergegas mahu memberi komen tanpa menunggu maklumat sepenuhnya dan tanpa bersedia mendapat penjelasan dari yang dituduh. Malang sekali pemimpin politik yang mahu mencuri peluang menghentam lawan juga menunjukkan tahap pemikiran rendah dan murah bila memberi komentar sangat dangkal dan sarat dengan prejudis politik yang memualkan.

Inilah yang kami perhatikan di kalangan kumpulan yang terlalu obses dengan  politik sehingga seluruh jentera,  tenaga dan fikiran tertumpu kepada kepentingan politik dan bukan kepentingan umat dalam ertikata yang sebenar.

Politik di Malaysia nampaknya bukan lagi suatu aspek kehidupan yang bertujuan mengatur urustadbir dan membangun negara akan tetapi sudah menjadi suatu pertarungan, permainan dan percaturan yang sangat hodoh apabila aktor politik menyerang lawan dengan apa sahaja cara hatta menyebar maklumat palsu dan fitnah.

Media pencatur dan pencacar politik kian menonjolkan peranan menyebar fitnah tidak kira sama ada maklumat yang disebar itu betul atau di sebaliknya. Matlamatnya hanya satu. Rosakkan imej lawan atau paling tidak imej seorang musuh politik sekurangnya dapat dicalarkan. Itu sudah dianggap memadai untuk menjatuhnya. Walaupun ia termasuk menyebar fitnah.

Kini sentimen yang cepat dimanipulasi ialah sentimen agama kerana ia dianggap paling sensitif kepada orang-orang Melayu Islam. Pada hal matlamat yang tersirat bukan mahu membela Islam akan tetapi hanya untuk meraih peluang menghentam musuh politik.

Semua sudah sangat maklum betapa kerosakan agama sudah menjadi parah bukan sekarang akan tetapi sudah sedemikian lama. Soal orang Islam rosak aqidah pernah berkali-kali diungkap dalam pelbagai ceramah dan kuliah oleh para ulama. Namun pihak berkuasa tidak mempedulikan perkembangan yang berlaku sehingga kini keadaan menjadi sangat parah.

Sekarang apa yang sepatutnya menjadi tumpuan ialah bagaimana dengan ujudnya berbagai agensi agama yang punya kuasa yang diperundangkan, kedudukan Islam dan perlaksanaan hukumnya dapat dilaksanakan dengan berkesan. Sementara itu juga harus diberi perhatian  bagaimana program pendidikan dan dakwah perlu  diperkukuhkan.

Sebab itu bila pernyataan diungkap mengenai status Islam di kalangan orang Melayu, seharusnya yang perlu diberi tumpuan ialah bagaimana orang Melayu dapat mengatasi gejala terhakis keIslaman  mereka. Di samping itu juga ditumpukan apa yang perlu digerakkan untuk menyelamatkan pegangan Islam di kalangan orang Melayu.

Semua pihak harus mengelak diri dari menjadikan ia sebagai polimik politik dan saling menuduh, jauh sekali dijadi modal politik  dengan meletakkan kepentingan politik kelompok lebih utama dari kepentingan Islam itu sendiri.

Sepatutnya kedudukan Islam di kalangan orang Melayu, walaupun mempunyai takrif yang tersendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia tidak boleh memberi jaminan bahawa orang Melayu secara hakikatnya boleh kekal keislamannya.

Kita boleh menegaskan bahawa orang Islam tidak boleh murtad mengikut hukum Islam tanpa dikenakan hukuman mengikut syariat Islam akan tetapi untuk selesa dengan hanya takrifan Perlembagaan mengenai definisi orang Melayu adalah berugama Islam adalah dangkal.

Tidak dapat dinafikan betapa gejala orang Melayu sudah longgar pegangannya kepada Islam kini sangat mengkhuatirkan. Secara umum gejala murtad bukan suatu perkara yang dapat dinafikan sama ada diisytiharkan secara rasmi atau tidak.

Oleh itu polemik mengenainya tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persoalan undang-undang semata-mata tetapi juga kepada usaha yang berkesan untuk mendidik orang Melayu khasnya dan masyarakat Islam amnya mengenai bagaimana mengujudkan kehidupan Islamiyyah dalam semua aspek.

Kami dapati kini isu kebebasan beragama tersasar jauh dari apa yang sepatutnya dibincangkan. Sementara kita menegaskan bahawa orang Melayu tidak boleh bebas murtad dan boleh pilih agama lain, kini isunya terheret dalam arena pertarungan politik  bukan untuk menyelesaikan bagaimana hendak memulihkan orang Melayu yang telah mengisytiharkan diri keluar dari agama Islam.

Kami sangat kesal isu ini berlarutan dibincangkantidak bertujuan untuk menangani isu melaksanakan apa yang sepatutnya untuk memulihkan pegangan Islam di kalangan orang Melayu tetapi menyerang lawan politik di luar batas kebenaran.

Padahal yang jelas menghina hukum hudud pula dilepaskan hanya kerana beliau berada dalam kem politik yang sama. Lebih malang lagi kami mendapati ada pula ahli agama menjadi jurucakap bagi pihak beliau untuk mengesahkan bahawa pernyataan beliau tidak salah akan tetapi disalahertikan.

Kami menuntut agar semua pihak menghentikan perdebatan yang merugikan Islam dan umat Islam sendiri. Pihak agensi agama Islam yang berwewenang hendaklah memperbetulkan persepsi orang bukan Islam terhadap Islam dan bekerja keras untuk mengangkat martabat Islam secara murni  bukan hanya dengan mewujudkan program yang bersifat kosmetik.

 

Pemimpin-pemimpin politik jangan kiasu

Posted: 10 Nov 2012 03:03 PM PST

Tempoh empat tahun dalam dunia politik nampaknya begitu lama dan sesuatu yang cukup memeritkan.

Apa tidaknya, tidak pernah satu hari sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12, tidak kedengaran perbalahan politik antara dua pihak yang bertelagah.

Rakyat pula mengaru-garu kepala dan tertanya-tanya – apa sudah jadi dengan wakil rakyat yang dipilih mereka? Mengapa wakil-wakil rakyat yang dipilih ini boleh berkelakuan sedemikian? Apakah mereka sudah lupa bahawa kuasa dan jawatan yang disandangnya ketika ini hanya bersifat sementara?

Suara rakyat yang meminta wakil rakyat melihat ke hadapan tenggelam timbul dan bagaikan tidak diendahkan.

Paling mendukacitakan, perbalahan dan perang lidah antara pihak pemerintah dan pembangkang belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Sebaliknya, keadaan bertambah buruk. Di satu pihak, pelbagai isu dibangkitkan dengan harapan seteru mereka akan memberi maklum balas. Di satu pihak lagi pula, mereka hanya mampu bertahan dan menangkis tohmahan demi tohmahan.

Kedua-dua pihak seolah-olah tidak bersedia menerima kehadiran sesama mereka. Matlamat utama ialah kemenangan di satu pihak manakala kekalahan di pihak lawan.

Apa yang diamalkan itu adalah sesuatu yang lumrah dalam dunia politik. Isu kelangsungan adalah segala-galanya dalam dunia politik. Siapa lebih kuat, dialah yang berkuasa!

Namun demikian, perlukah mereka sampai ke tahap sedemikian?

Lihat sahajalah kepada tindak-tanduk Presiden Barack Obama dan pemimpin parti Republikan, Mitt Romney yang berentap dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

Mereka berdua cukup berlapang dada. Biarpun Romney tewas pada pilihan raya itu, beliau sempat mengajak kedua-dua pihak, Parti Demokrat dan Republikan untuk tidak berbalah sesama sendiri. Menurut Romney, Amerika kini berada di persimpangan dan sebarang perbalahan hanya akan merugikan kuasa besar dunia itu.

Malah, beliau turut mengajak semua pihak untuk bekerjasama bagi menunaikan mandat yang telah diberikan oleh pengundi. Obama dalam ucapan kemenangannya pula berjanji akan bekerjasama dengan Romney untuk memacu Amerika ke hadapan.

Kata-kata oleh Romney dan Obama itu cukup signifikan dan cukup bermakna. Mereka mempamerkan kematangan berpolitik tinggi yang wajar diteladani oleh semua pemimpin politik dunia.

Keghairahan untuk merebut jawatan paling berkuasa di dunia tidak sekalipun melekakan mereka untuk berperang antara satu sama lain. Romney dan Obama mengerti bahawa agenda yang lebih penting ialah negara. Sentimen partisan yang menebal diketepikan buat seketika.

Ketika kita ghairah bercakap mengenai pemimpin Amerika, bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin politik di Malaysia? Bersediakah mereka untuk berubah dan menjadi teladan kepada pihak lain? Mahukah mereka terus menjadi bahan gurauan? Apa manfaatnya untuk terus bertelagah? Cukuplah…

Tiada gunanya jika pemimpin-pemimpin politik kita sering bercakap mengenai budaya politik baru namun tidak disusuli dengan tindakan konkrit. Elak menjadi pemimpin yang cakap tak serupa bikin dan kiasu.

Budaya politik baru menuntut kesungguhan seseorang pemimpin untuk berubah, berubah ke arah kebaikan dan menjadi seorang yang lebih baik daripada sebelumnya.

Kepada pemimpin politik dari parti pemerintah dan pembangkang, ayuh ketepikan perbalahan dan bekerjasama demi kebaikan negara yang kita cintai ini.

 

‘Pemimpin Islam perlu sepakat dalam soal menjaga agama’

Posted: 10 Nov 2012 02:59 PM PST

Katanya tindakan sesetengah pemimpin politik yang mengetepikan kepentingan agama demi kedudukan politik dan menyebabkan kecelaruan berpanjangan dalam masyarakat amat dikesalkan.

"Amat dikesalkan kerana pemimpin PAS seperti Nik Aziz dan Haji Hadi tidak mahu memperbetulkan  kenyataan yang dibuat Nurul Izzah dalam soalan kebebasan beragama selain turut menyokong dan mengatakan perkara tersebut tidak penting," katanya pada satu perjumpaan dengan media, di sini hari ini.

Katanya sebagai Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat jelas mengetepikan kepentingan Islam apabila menyokong Nurul Izzah sekalipun menyedari Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu melakukan kesalahan besar.

"Nik Aziz jika tahu perkara itu salah sepatutnya jangan keluar apa-apa pandangan dan lebih baik  menjadi syaitan yang bisu daripada syaitan yang berkata-kata," katanya.

Beliau turut meminta Nurul Izzah memperbetulkan kenyataannya dan meminta maaf dengan mengakui tidak arif tentang bidang agama.

Pada 3 Nov lepas, portal berita Malaysiakini melaporkan Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai berkata rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara itu juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya pada 3 Nov.

 

70% rakyat Selangor sokong Umno-PAS bergabung

Posted: 10 Nov 2012 12:28 AM PST

Bekas Setiausaha PAS Selangor Norman Toha, kajian yang dijalankan sebuah agensi perunding menunjukkan majoriti penduduk Selangor yang berbilang kaum mahu dua parti itu mengenepikan perbezaan politik dan bergabung tenaga.

"Kalau mengikut kaji selidik yang dibuat sekitar Mac 2012, 70 peratus penduduk mengharapkan satu kerjasama yang baik antara PAS dan Umno untuk mempertahankan Melayu-Islam," katanya dalam sidang media selepas mengadakan wacana 'Mengembalikan PAS ke Landasan Asal' pagi tadi di Hotel Vistana di sini hari ini.

Wacana tersebut menurut Norman dianjurkan atas inisiatif individu ahli PAS yang mahu suara rungutan mereka diberikan perhatian.

Katanya, peserta wacana itu terdiri daripada pemimpin dan penyokong akar umbi yang mahu memberikan pandangan serta luahan tentang kecelaruan hala tuju parti yang semakin tersasar daripada perjuangan asal.

Resolusi wacana

Wacana tersebut juga berjaya mencapai 11 resolusi yang mengandungi desakan supaya parti dan pemimpin PAS kembali kepada landasan Islam yang sebenar.

"Mungkin kita akan ajukan resolusi ini kepada pemimpin tertinggi dalam masa tersekat.

"Harapan kami supaya mereka (pemimpin PAS) agak terbuka menerima pandangan peringkat akar umbi yang sebenarnya sudah lama disuarakan," katanya.

Sebelas resolusi tersebut adalah:

READ MORE HERE

 

Kredit: www.malaysia-today.net

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Today Online

Copyright 2010 All Rights Reserved